Siakap Keli
Foto: Xinhua News/ABS-CBN News

(Video)’Kepala’ Taufan Lekima Badai Tenggara China, Sekurang-Kurangnya 13 Maut

Angin kuat yang melanda beberapa kawasan di utara tanahair pada malam tadi adalah berpunca daripada ribut taufan Lekima yang sedang aktif membadai beberapa negara Asia ketika ini.

Namun, apa yang berlaku di negara kita ini hanyalah sekadar ‘ekor’ taufan tersebut sahaja. Sebaliknya, ‘kepala’ bagi taufan itu telah membadai wilayah tenggara China awal pagi tadi.

Agensi berita China Xinhua News melaporkan, taufan itu telah mengakibatkan ombak kuat, banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Zhejiang.

Angin yang boleh mencapai kelajuan sehingga 200 kilometer sejam serta hujan lebat telah menyebabkan masalah gangguan elektrik serta pokok tumbang.

Menurut laporan China Global Televisyen Network pula, sekurang-kurangnya 13 orang maut dan 16 lagi hilang akibat daripada kejadian tanah runtuh di kawasan timur negara tembok besar itu.

Perkhidmatan pengangkutan seperti penerbangan, keretapi dan feri terpaksa dihentikan manakala sekolah juga ditutup disebabkan keadaan yang tidak selamat.

AccuWeather memaklumkan bahawa taufan ini mungkin akan mengakibatkan hujan lebat dan angin kuat di kawasan sekitar Shanghai, Wenzhou, Nanjing, Qingdao serta Beijing.

Selain itu, amaran jingga juga telah dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Kebangsaan China berikutan kejadian taufan Lekima ini.

Sumber: AccuWeather, Xinhua News, CGTN

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.