Siakap Keli

Panggilan Yang Tidak Bersahut, Kronologi Kehilangan Nora Anne Hingga Ditemui Tidak Bernyawa

Semalam, mayat seorang wanita berkulit putih telah ditemui 2.5 km dari tempat kehilangan remaja istimewa, Nora Anne Quoirin, 15.

Penemuan mayat tersebut telah menjawab misteri kehilangan remaja berkenaan yang hilang sejak Ahad lalu, sehari setelah tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di negara ini.

Kehilangan mangsa diklasifikasikan sebagai kes orang hilang pada peringkat awal pencarian. Namun, keluarganya percaya bahawa mangsa telah diculik.

Datuk mangsa, Sylvain Quoirin sebelum ini berkata, tidak masuk akal bagi seorang remaja istimewa seperti Nora untuk menghilangkan diri secara sendirian.

“Dia seorang remaja perempuan yang sangat pemalu dan penakut. Sungguh tidak masuk akal dia akan keluar sendiri pada waktu malam, anda boleh kecualikan kemungkinan itu,” kata datuknya.

“Pada waktu pagi, tingkap terbuka dan dia hilang. Setelah penerbangan 18 jam dan perbezaan masa hingga tujuh jam, anda pasti akan tidur lena, bukan keluar berjalan pada waktu malam.

“Semua orang tidur dalam kepenatan, dan pada waktu pagi Nora tiada,” kata datuknya.

Mayat Nora ditemui dalam keadaan tanpa pakaian berhampiran sungai di kawasan lurah, 2.5 kilometer dari resort penginapannya.

Remaja istimewa

Menurut Lucie Blackman Truest, sebuah badan amal Britain yang membantu rakyatnya semasa menghadapi krisis di luar negara, Nora disifatkan sebagai seorang yang periang, suka bergurau dan sangat penyayang.

“Dengan keluarga, dia sangat menyayangi – keluarga adalah dunianya dan dia suka bermain permainan seperti Cat Bingo, bersama kami. Dia suka bercerita kepada kami tentang jenaka yang mengarut dan gemar memakai t-shirt berwarna-warni. Dia tidak seperti remaja lain. Dia tidak pernah pergi ke mana-mana seorang diri.”

“Dia telah berkunjung ke Asia, dan banyak negara Eropah sebelum ini, dan tidak pernah merayau-rayau atau tersesat. Nora sangat sensitif. Apabila tidak ditemani keluarga, Nora adalah seorang yang sangat pemalu dan agak resah,” kata keluarga itu.

Nora, menghidap “Holoprosencephaly” semasa lahir tetapi mempunyai ingatan yang baik walaupun dia tidak dapat memahami apa-apa konseptual.

“Dia tidak dapat berupaya dalam matematik dan oleh itu, perkara seperti wang tidak mungkin dapat diuruskan. Dia tidak boleh membuat atau menerima panggilan telefon secara sendiri. Dia boleh membersihkan diri dan memakai baju secara sendiri walaupun tidak dapat kancing butang baju dan susah untuk membasuh rambutnya.

“Nora suka berjalan bersama keluarganya, tetapi keseimbangannya terhad dan dia menghadapi masalah koordinasi,” kata keluarga itu sambil menambah bahawa dia boleh bertutur bahasa Perancis dan juga bahasa Inggeris, tetapi komunikasi secara lisan terbatas.

Operasi 24 jam tanpa henti

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan tanpa henti selama 24 jam sejak hari pertama remaja itu dilaporkan hilang.

“Operasi SAR di waktu malam memang kita teruskan kecuali pemantauan Pasukan Gerakan Udara yang hanya dijalankan pada sebelah siang,” katanya.

Sepanjang operasi SAR, anggota keselamatan mengawal ketat laluan menghala ke resort itu.

Gambar: Bernama

Menurut Bernama, resort itu dilihat agak terpencil dan sunyi menjelang petang malah amat gelap pada waktu malam memandangkan tiada lampu jalan di sekitarnya selain perlu melalui jalan berliku yang sempit untuk ke resort berkenaan.

Pada hari ketiga kehilangannya, skuad penyelamat menumpukan pencarian di kawasan lereng bukit dan anak sungai kerana percaya mangsa akan menuruni bukit bagi mendapatkan air.

“Kami rasa tempat di atas (bukit) kami dah cuba cari banyak kali dan kalau secara logiknya, dia (mangsa) tidak akan naik lagi dan cuba turun ke kaki bukit mencari air.

“Jadi mulai petang ini dan sehingga malam, kami akan beri fokus kepada kawasan sungai di bawah. Setakat ini tiada maklumat yang tepat yang kami dapat dan setakat pukul 5 ini, keputusan negatif,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gambar: Bernama

Mohamad berkata anjing pengesan yang digunakan dalam operasi itu juga hanya dapat menjejaki bau mangsa pada hari pertama operasi dan sejauh 100 meter dari chalet yang diduduki remaja itu.

“Pada hari berikutnya, bau semakin lama semakin hilang. Kami percaya Nora Anne masih berada di kawasan sekitar,” katanya.

Misi tersebut disertai polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praak, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, kakitangan Sapura, serta penduduk tempatan, termasuk Orang Asli.

“Nora darling, mum’s here..”

Pada 8 Ogos lalu, pasukan penyelamat menggunakan suara ibu mangsa, Meabh Jaseprine Quoirine dalam misi pencarian tersebut yang mana beliau merupakan individu paling rapat dengan Nora.

Rakaman itu dimainkan alat pembesar suara dan telefon anggota penyelamat dalam usaha mengesan remaja berkenaan.

“Nora darling, Nora I love you… mum is here”.

“Kami dah cari di kawasan itu..”

Setelah genap sepuluh hari pencarian, mayat Nora ditemui dalam kawasan pencarian yang telahpun ‘dijelajah’ sebelum itu.

Mazlan berkata mayat itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan enggan mengulas sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuh mayat berkenaan dan menegaskan perlu menunggu laporan bedah siasat.

“Kita sudah cari di kawasan itu dua kilometer, empat kilometer dan enam kilometer dan kemudian berpatah balik…kita ‘on and off’ cari di kawasan itu,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Ditanya adakah kemungkinan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Mazlan berkata siasatan masih di bawah kes orang hilang.

Mazlan berkata perkembangan kes itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Bedah siasat dilakukan pada pagi ini. (Gambar: Bernama)

Teruja pergi ke air terjun

Menurut kenyataan salah seorang sukarelawan, Shirley Yap yang dikongsikan kepada Daily Mail, Nora memberitahu keluarganya dia teruja untuk pergi ke air terjun.

“Kami dengar dia teruja melihat air terjun ketika sampai di resort. Jadi, kami cari di kawasan tersebut dan mengikut sungai menuruni bukit.

Pendaki sukarelawan yang menemui mangsa telah dibawa ke balai polis untuk memberi kenyataan.

Sumber: Bernama, Daily Mail

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.