Siakap Keli
Gambar: Bernama

Perlis Bantu Bina Rumah Ranap Akibat Ribut

KANGAR, 14 Ogos (Bernama) — Kerajaan Perlis akan membina rumah baharu berharga RM30,000 bagi mangsa yang rumah mereka musnah dilanda ribut pada Jumaat lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

“Bagi setiap rumah yang ranap, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menyumbang RM25,000 manakala kerajaan negeri menambah RM5,000 bagi menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000,” katanya pada majlis penyerahan Bantuan Awal Mangsa Ribut di Dewan 2020 di sini, malam tadi.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan memberi bantuan maksimum RM5,000 kepada setiap mangsa bencana itu.

Azlan berkata bantuan itu akan diselaraskan dan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Bantuan awal yang disampaikan Azlan pada majlis itu berjumlah keseluruhan kira-kira RM400,000 melibatkan 1,079 mangsa, termasuk peniaga kecil yang mendaftar dengan pihak berkuasa.

Mengikut rekod JKM, ​​ribut yang membadai pada Jumaat lepas merosakkan 567 rumah dalam kawasan Parlimen Kangar, 270 buah (Parlimen Padang Besar) dan 242 buah (Parlimen Arau).

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa