Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ahli Keluarga Sahkan Mayat Wanita Singapura Yang Hilang Semasa Berkayak

Ahli keluarga wanita warga Singapura mengesahkan mayat yang ditemui oleh nelayan tempatan kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam di perairan Kemaman adalah mendiang Puah Geok Tin, 57, yang dilaporkan hilang ketika berkayak di Mersing, Khamis lepas.

Menurut Louis Pang , 24, beliau dapat mengecam mayat ibunya berdasarkan beberapa barangan milik mangsa namun enggan mendedahkan dengan lebih terperinci butiran tersebut.

Beliau berkata walaupun sedih mereka sekeluarga berasa amat bersyukur kerana mayat ibunya dapat ditemui selepas enam hari hilang di laut.

“Kami lima sekeluarga termasuk bapa, Henry Pang, 60,  seorang kakak serta seorang abang tinggal satu rumah dan kali terakhir berjumpa dengan mendiang ibu ialah pada 7 Ogos lalu sebelum beliau bertolak dengan bas ke Johor.

“Memang sukar untuk kami berita (kematian) ini, tapi dalam masa sama berasa sangat lega kerana akhirnya ditemui dan dapat diberikan penghormatan terakhir dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman.

Mengulas lanjut Louis yang merupakan anak bongsu berkata mendiang ibunya sangat aktif dan sering mengikuti rakan-rakannya ke serata tempat menjalani aktiviti luar dan lasak seperti mendaki gunung, berkayak dan berbasikal.

“Saya juga berharap dan berdoa supaya usaha mencari rakan ibu, Mr Matthew (Tan Eng Soon) yang hilang bersamanya akan cepat-cepat berhasil.

“Selain itu saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak dan agensi keselamatan di Malaysia yang telah bertungkus lumus membantu dalam operasi pencarian ibu saya,” katanya yang bekerja sebagai anggota tentera.

Kata beliau lagi pada masa ini polis masih menjalankan siasatan lanjut dan perlu menyiapkan beberapa dokumen sebelum keluarganya boleh membawa pulang mayat.

“Bedah siasat dijalankan sejak 12 tengah hari tadi dan dijangka mengambil masa lebih tiga jam. Kami masih menunggu perkembangan semasa dan belum memutuskan bila mayat akan dibawa pulang,” katanya.

Khamis lepas, Puah, 57, dan Tan, 62, kedua-duanya warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing, berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)