Siakap Keli
Gambar: Save Elephant Foundation

Badan Tinggal Tulang Ditutup Kain, Tikiri Gajah Berusia 70 Tahun Diseksa, Undang Kecaman Komuniti Dunia

Lek Chailert, pengasas Save Elephant Foundation berkata, “Ini adalah Tikiri, merupakan seekor gajah betina berusia 70 tahun, dia adalah salah seekor daripada 60 gajah yang perlu bekerja di Festival Parahera di Sri Lanka pada tahun ini. Tikiri terlibat dengan perarakan setiap petang hingga larut malam, setiap malam selama 10 hari berturut-turut, di tengah-tengah bunga api dan juga asap.”

“Tikiri perlu berjalan berkilo-kilo meter pada setiap malam untuk meraikan orang yang merayakan perayaan ini. Badan kurus dengan tulang yang kelihatan atau keadaan tubuhnya yang lemah, tidak dilihat oleh orang ramai kerana tubuhnya ditutup dengan jubah,” tulis Lek melalui akaun Facebook miliknya.

“Air matanya yang mengalir pun tidak kelihatan kerana cahaya lampu dan aksesori yang menutup matanya, tiada yang melihat kepayahan Tikiri berjalan kerana kakinya juga dirantai semasa berjalan,” tambah Lek, merujuk pada perayaan Buddha tahunan di Sri Lanka.

Gambar: Save Elephant Foundation

Rata-rata netizen yang melihat serta memberi komen tentang isu yang dibangkitkan ini telah menyatakan kemarahan dan kesedihan melihat nasib Tikiri. Terdapat beberapa netizen juga yang memulakan petisyen untuk membantu Tikiri.

Berikut antara komen-komen dari netizen yang melihat kesengsaraan Tikiri melalui Facebook.

“Sedih melihat kelakuan manusia terhadap makhluk besar yang indah ini.”

“Ini sudah melebihi batas. Saya menangis, gajah ini perlu dibantu untuk keluar dari kesengsaraan dan biar dia menikmati sisa hidupnya.”

Gambar: Save Elephant Foundation

Namun, jurucakap penjaga gajah itu ketika dihubungi memberitahu, mereka sentiasa memerhatikan haiwan ini dan mendakwa bahawa Tikiri diperiksa oleh seorang doktor haiwan.

Melihat data dari World Animal Protection menunjukkan bahawa lebih kurang 3,000 gajah digunakan untuk hiburan di seluruh Asia, dan 77% daripada mereka diperlakukan secara tidak wajar.

Save Elephant Foundation yang berpusat di Thailand memberitahu misi mereka adalah menyelamatkan gajah Asia daripada pupus dan menjaga gajah yang ada dengan melindungi habitat mereka. Mereka juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat yang berkaitan dengan tindakan seperti ini.

Sumber: BBC

Eyen Mirlen

write deeply from your heart

Nur Farra