Siakap Keli
Kredit: New York Post

China Didakwa Mandulkan Tahanan Wanita Etnik Uighur, Jual Organ Skala Besar

China telah memenjarakan berjuta-juta tahanan politik dan agama di kem tahanan mereka yang didakwa sebagai pusat pendidikan semula yang secara khusus menempatkan etnik Uighur.

Menurut laporan New York Post, China dikatakan memandulkan tahanan wanita di kem berkenaan secara paksa dalam usaha mengurangkan populasi etnik minoriti berkenaan.

Seorang wanita yang ditahan lebih setahun, Gulbahar Jalilova, 54 berkata, dia dicucuk berulang kali dengan bahan oleh doktor di dalam penjara di Xinjiang.

“Kami disuruh menghulurkan lengan melalui ruang kecil di pintu,” katanya.

“Lama-kelamaan kami sedar, disebabkan suntikan itu, kami semua tidak lagi datang bulan.”

Gulbahar dan 50 orang wanita lain disumbat di dalam ruang sel yang sempit. Hal yang serupa turut berlaku pada wanita etnik Uighur yang lain, Mehrigul Tursun, 30 yang turut berkongsi kisah sama ketika persidangan Amnesty International Conference di ….

Mehrigul yang tidak sedar dimandulkan berkata dia berasa penat selama seminggu, kehilangan ingatan dan berasa tertekan setelah diberi pelbagai ubat sejak dipenjarakan pada 2017.

Setelah beberapa bulan, dia dibebaskan dan didiagnos mempunyai penyakit mental dan kini tinggal di US. Doktor di US memberitahu dia telah dimandulkan.

Anggaran 1 juta etnik Uighurs dikurung di dalam penjara seluruh negara. Ahli kumpulan keagamaan Falun Gong turut ditahan dalam jumlah yang ramai.

Sebelum ini, wanita Uighur yang pernah menjadi tahanan di penjara Uighur dan kini tinggal di US menceritakan pernah dipaksa menggugurkan bayi, termasuk bayi yang sudah menjelang usia matang dalam kandungan.

Institut Penyelidikan Populasi yang menentang pengawalan populasi secara tidak berperikemanusiaan turut mendakwa China melakukan pemandulan secara paksa skala besar.

“Populasi semasa Uighur kini kurang daripada 1 peratus daripada keseluruhan populasi China,” kata kumpulan penyelidik itu.

“Untuk mengawal pengembangan populasi tersebut sama seperti membunuh mereka.”

“Oleh itu, polisi pengawalan kelahiran melalui pengguguran dan pemandulan secara paksa etnik ini bukan untuk memastikan kualiti populari Uighur.

“Hal ini dilakukan untuk tujuan sebaliknya, iaitu untuk menghapuskan mereka dengan mengenakan sekatan politik, ekonomi dan sosial ke atas mereka,” kata wakil penyelidik tersebut.

China mendakwa semua tahanan berpotensi terlibat dengan gerakan ekstrimis walaupun tiada perkara yang dapat membuktikannya.

Penuaian organ

Gerakan hak asasi manusia telah menyuarakan kerisauan ke atas nasib 1.5 juta tahanan politik dan agama di kem tahanan negara berkenaan yang mana dikhuatiri menjadi mangsa penuaian organ.

Pada Jun, Tribunal China ditubuhkan di London telah mengumumkan kewujudan penuaian organ skala besar berlaku di negara tersebut.

Tribunal yang dianggotai oleh wakil dari Amerika Syarikat, UK, Malaysia dan Iran merangkumi pakar dalam hak asasi manusia, pembedahan transplant dan hubungan antarabangsa, tribunal tersebut telah mendapat informasi daripada 50 saksi dan meneliti sejumlah bukti teks dan visual sepanjang tahun lalu.

“Bilangan pembedahan yang dilakukan, senarai menunggu yang sangat pendek untuk para penerima (organ) dan pengembangan kemudahan menunjukkan ‘di luar keraguan munasabah’ sekaligus menandakan penuaian organ secara paksa telah dilakukan selama bertahun-tahun di China pada skala yang signifikan,” kata laporan berkenaan.

China menafikan pencabulan hak asasi manusia walaupun telah ditentang oleh badan antarabangsa.

Sumber: New York Post

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.