Siakap Keli
Gambar: Free Malaysia Today

Op SAR Dua Warga Singapura Hilang Ketika Berkayak Diperluas Sehingga Ke Perairan Kerteh

MERSING 15 Ogos – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Endau, di sini, Khamis lepas, memasuki hari ketujuh hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan sehingga ke perairan Kerteh, Terengganu.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kawasan pencarian di muka laut itu melibatkan penggunaan tiga aset laut pelbagai agensi iaitu sebuah kapal dan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sebuah bot milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang merangkumi kawasan seluas 500 batu nautika perairan Kuantan sehingga ke Kerteh.

“Operasi yang bermula 8 pagi hari ini melibatkan kekuatan seramai 32 anggota pelbagai agensi memandangkan sektor pencarian sudah dikecilkan iaitu yang ditumpukan di kawasan yang berkemungkinan tinggi mangsa berada berikutan penemuan kayak di perairan Kuantan, dan mayat seorang wanita di Kuala Kemaman.

“Penggunaan aset udara juga sudah tidak diperlukan kerana memadai hanya penggunaan aset laut di kawasan sekitar 500 batu nautika persegi berkenaan,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) yang diwujudkan di Jeti Penyabong, Endau, di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata PHC Kemaman juga akan dibuka dalam masa terdekat, namun, PHC di Jeti Penyabong akan tetap terus beroperasi bagi menyalurkan informasi kepada sebahagian anggota keluarga mangsa yang masih berada di jeti tersebut.

Beliau berkata dalam masa sama, sebuah bot Pengawal 43 milik APMM masih melakukan rondaan di sekitar perairan Endau manakala pencarian di pesisir pantai turut dilakukan meliputi pantai Kuala Kemaman sehingga ke Paka.

Katanya keluarga wanita, iaitu salah seorang daripada dua warga Singapura yang hilang itu sudah berada di Hospital Kemaman bagi membuat pengecaman terhadap mayat wanita yang ditemui di perairan Kemaman, semalam.

“Tetapi, mereka (keluarga) belum melihat mayat wanita yang dijumpai itu dan hanya melihat menerusi gambar yang disediakan pihak hospital. Sampel ujian deoksiribonukleik (DNA) sudah diambil daripada keluarga pada 10 pagi tadi untuk dilakukan perbandingan, namun, kita masih menunggu keputusannya,” katanya.

Khamis lepas, seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilaporakn hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan antara Pulau Sri Buat, Pahang, dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Dua hari lepas, kayak dinaiki mereka ditemui pada 12.55 tengahari di perairan Kuantan, Pahang, sebelum mayat seorang wanita disyaki salah seorang warga Singapura itu ditemui nelayan pada 12.50 tengahari semalam di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman.

Sumber: Bernama

Eyen Mirlen

write deeply from your heart