Siakap Keli

Pemain Thailand U15 Mohon Maaf Berikutan Insiden Tumbuk Pemain Malaysia

Pada minggu lalu, perlawanan akhir Kejohanan AFF U15 2019 yang menemukan pasukan Malaysia dan Thailand tercemar berikutan insiden pergaduhan yang melibatkan tumbuk-menumbuk ketika perlawanan berlangsung.

Situasi tegang tersebut yang berlaku pada penghujung babak perlawanan bagaimanapun dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak patut dilakukan oleh kedua-dua pihak. Ekoran itu, pemain Thailand, Kongpop  yang terlibat dalam insiden terbabit menyuarakan permohonan maafnya atas tindakan memukul pemain Malaysia  semasa perlawanan itu berlangsung.

Permohonan maaf tersebut dizahirkan melalui satu mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) untuk mengkaji semula tindakan pemain mereka semasa insiden tersebut berlaku. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden FAT, Somyot Poompunmuang itu turut melibatkan jurulatih Thailand U-15, Salvador Valero Garcia dan stafnya, Kongpop serta ibu bapanya di ibu pejabat FAT di Bangkok.

Melalui pertemuan itu, Presiden FAT juga menasihati agar pemain mengubah sikap dan tingkah laku mereka tidak kiralah semasa berada di dalam padang mahupun di luar padang. Tambahnya lagi, dia juga meminta pemain muda itu untuk belajar daripada kesilapan yang lalu dan terus berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

Pertembungan akhir Piala AFF U-15 2019 pada minggu lalu telah mengangkat skuad bola sepak Malaysia bawah 15 tahun sebagai juara setelah memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-1.

Gambar: Football Association Of Malaysia (Official)

Sumber: Fox Sport Asia

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra