Siakap Keli
Gambar : Google

Tak Pernah Berlaku Dalam Sejarah, Imbau Detik Majistret Jadi Tebusan Banduan, Hampir Dibunuh

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Cemas dan mendebarkan. Begitulah yang dapat digambarkan apabila membaca kisah yang berlaku 32 tahun lalu sehingga menggemparkan negara. Seorang Majistret wanita dijadikan tebusan selama 24 jam oleh tiga orang banduan ketika berada di mahkamah.

Umpama berada di ambang maut, Yang Arif Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya ketika itu bukan sahaja diacu dengan besi tajam di leher malah diugut bunuh berkali-kali. Lebih menakutkan, penjenayah juga berjaya merampas pistol daripada pihak polis menjadikan keadaan bertambah bahaya.

Ikuti kronologi kejadian gambaran sebenar yang berlaku seperti yang diceritakan semula di bawah.

Korang pernah dengar tak cerita seorang Majistret yang dijadikan tebusan oleh banduan dan dirinya telah diacukan besi tajam di leher dan hampir dibunuh? Ya ini kisah di Malaysia dan sangat mencemaskan.

Peristiwa ni diceritakan semula oleh seorang saksi yang terlibat secara langsung dengan kes ni. Majistret itu adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman bunuh dalam kes Stephanie Foray. Ini kisah Yang Arif Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya.

Banduan meluru ke dapan dengan besi tajam

Pagi 7 Januari 1987, seperti biasa lebih kurang 100 orang banduan dipanggil masuk ke ruang Majistret Mariana untuk reman dan dapatkan tarikh bicara. Majistret Mariana menjalankan tugas seperti biasa hingga tiba tiba keadaan yang tenang bertukar jadi sangat panik dan cemas.

Apabila tiba giliran banduan kelima dipanggil menghadap Majistret Mariana, secara tiba tiba banduan ini meluru ke depan, tempat Majistret sedang duduk dan banduan kelima dan keenam turut melakukan perkara yang sama. Senjata mereka- sebilah besi tajam.

Tak pernah berlaku dalam sejarah Majistret dijadikan tebusan oleh banduan

Pengawal terlalu terkejut dan tergamam hingga tak sempat nak lindungi Majistret Mariana. Kes seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Tapi pengawal yang bertugas sempat membunyikan wisel tanda amaran. Jelas sekarang Majistret Mariana telah dijadikan tebusan oleh banduan.

3 orang banduan tersebut adalah warganegara Indonesia. Mereka hadir ke mahkamah atas kesalahan yang tidak terlalu berat. Tapi oleh kerana nafsu dan dorongan syaitan, mereka nekad menjadikan Majistret Mariana peluang untuk meloloskan diri.

Semasa Majistret Mariana dalam kawalan mereka bertiga, mereka telah membuat pelbagai permintaan. Antara lain ialah sebuah kereta dan wang. Mereka juga ingin membawa Majistret Mariana lari daripada tempat kejadian.

Cerita penahanan Majistret Mariana tersebar dengan luas ke seluruh mahkamah. Orang ramai mula berpusu pusu datang ke tempat kejadian. Pada mulanya, Majistret Mariana hanya ditawan di dalam ruangan bicara namun ketiga tiga penjenayah tadi telah cuba untuk keluar.

Besi di leher dan ugutan bunuh yang tak henti dari mulut penjenayah

Mereka bertiga telah membuat ancaman untuk membunuh Majistret Mariana jika permintaan mereka untuk keluar dari ruang bicara tidak dibenarkan. Ruang tersebut telah pun dikepung oleh ramai pengawal dan pegawai polis yang bertugas. Pada setiap masa, besi tajam tetap di leher.

Bayangkan, dengan besi di leher dan ugutan bunuh yang tak henti henti dari mulut penjenayah ni, apa pilihan yang ada selain ikut je permintaan dorang? Akibat daripada tak nak membahayakan nyawa Majistret Mariana, penjenayah penjenayah tersebut dibenarkan keluar dan ke bilik lain.

Rampas pistol pihak polis

Saat mencemaskan berulang lagi apabila salah seorang penjenayah itu yang bernama Agoes telah merampas sepucuk pistol daripada milikan seorang pegawai polis di situ. Allahu, dah ada besi tajam, sekarang mereka ada pistol hidup pulak. Sesiapa di tempat Majistret Mariana pasti takut.

Setelah beberapa minit, Unit Tindakan Khas Polis datang ke tempat kejadian diiringi oleh pegawai pegawai penjara. Mereka semua ambik kedudukan strategik di setiap sudut, cuba untuk selamatkan Majistret Mariana.

Biasalah kalau dalam kes melibatkan tebusan ni, pasti akan ada seorang perunding. Perunding ni namanya Ibrahim. Beliau cuba sedaya upaya untuk lengahkan masa pujuk penjenayah ni agar bebaskan Majistret Mariana. Pelbagai alasan diberikan kepada penjenayah tersebut.

Berlarutan dari pagi hingga ke malam

Okay tadi aku sebut kes ni bermula pada waktu pagi kan? Kes ni berlanjutan cukup lama, dari proses berunding hinggalah melengahkan masa untuk menunaikan permintaan penjenayah. Ianya berlarutan hingga malam. Dan Majistret Mariana tetap diambang maut dalam tangan mereka.

Disebabkan masa terlalu lama diambil untuk menunaikan permintaan tu, penjenayah 3 orang ni semua dah mula penat dan psikologi dorang ni dah lemah. Tapi dorang masih bersikap agresif. Penahanan ini berlarutan hingga 24 jam lamanya. Hinggalah Ibrahim cuba bersemuka sekali lagi.

Semasa Ibrahim cuba berunding secara lembut dengan penjenayah ni semua, secara tiba tiba salah seorang penjenayah yang bernama Ahmad telah mencekak leher Ibrahim dan menarik beliau masuk ke ruang tahanan yang sama dengan Majistret Mariana.

Tapi silap orang lah kan penjenayah ni nak cari pasal dengan pegawai kan. Puji Allah, Ibrahim ni ada ilmu pertahankan diri. Setelah di tarik masuk oleh Ahmad tadi, Ibrahim cuba sedaya upaya bergelut dengan Ahmad untuk melumpuhkan dia secara fizikal. Saat ni sangat mencemaskan.

Das tembakan kedengaran kuat

Atas arahan ketua Unit Tindakan Khas, beberapa anggota telah menyerbu masuk dalam bilik tahanan dimana di dalam itu ada Majistret Mariana dan Ibrahim tadi. Orang ramai tak tahu dan tak nampak apa yang berlaku. Tiba tiba das tembakan kedengaran kuat memecah suasana. Semua menjerit.

Rupa-rupanya anggota Unit Tindakan Khas yang menyerbu masuk bilik tahanan tu dah melepaskan tembakan pada penjenayah tu. Dengan serta merta, dua daripada tiga penjenayah tumbang dan maut di tempat kejadian.

Ahmad yang tadinya bergelut dengan Ibrahim tak mati dan dia ditahan serta merta di situ. Anggota polis yang lain masuk ke ruangan itu untuk mendapatkan Majistret Mariana. Bayangkan, dah lah diacukan besi tajam dan pistol, terpaksa pula melihat adegan tembak menembak di depan mata.

Majistret sangat lemah dan berada dalam trauma yang dasyat

Apa berlaku pada Majistret Mariana? Semasa di selamatkan oleh anggota polis, Majistret Mariana kelihatan sangat lemah dan berada dalam trauma yang dasyat. Beliau hampir tak mampu berkata kata.

Tapi Alhamdullilah, Majistret Mariana selamat dan cuma mengalami luka luka kecil di seluruh tubuh. Menurut siasatan polis, penjenayah tersebut memperolehi besi tajam tu daripada lubang angin di blok lain dan disorok dalam seluar salah seorang penjenayah, pada pagi itu.

Salah seorang penjenayah, Ahmad yang tak mati tu dibicarakan atas kesalahan jenayah yang serius. Semasa perbicaraan kes tersebut, Majistret Mariana sebagai saksi ada terdengar perbualan salah sorang penjenayah- “tarik, tekan, lepas.” merujuk kepada penggunaan pistol.

Dijatuhkan hukuman mati

Setelah tamat bicara kes itu, Ahmad telah didapati bersalah atas tuduhan menculik dan mengurung seorang pegawai mahkamah dengan niat membunuh serta memiliki senjata api. Ahmad dijatuhkan hukuman mati.

Tamatlah kisah salah satu tragedi yang cukup menggemparkan Malaysia pada tahun itu. Rata rata orang Kuantan pasti tahu kisah Majistret Mariana. Ada banyak versi tapi ini adalah versi paling tepat atas penceritaan semula oleh saksi mata ASP Mohd Ali Che Embi.

30 tahun berlalu, kini Majistret Mariana adalah seorang Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya yang pernah sempat hadir dalam mahkamah beliau mengaku, beliau adalah seorang yang cerdas dan tegas. Moga Allah berkati Yang Arif Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya.

Sumber : Ikhwan

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.