Siakap Keli
Kredit: CNN/NY Post

Rusuhan Sehingga Sebabkan Ratusan Penerbangan Dibatalkan, Ini Punca Krisis China Dan Hong Kong

Semenjak dua menjak ini, kita menyaksikan ketegangan yang berlaku di Hong Kong sehingga menyebabkan ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan kerana rusuhan yang diadakan di lapangan terbang Hong Kong, lapangan terbang paling sibuk di Asia.

Hong Kong kini sedang melalui krisis politik yang tegang setelah genap 10 minggu demonstrasi besar-besaran diadakan.

Demonstrasi ini bermula daripada penentangan terhadap krisis undang-undang antara wilayah tersebut dengan negara China.

Kredit: Google Maps

Sejarah Hong Kong dan China

Hong Kong merupakan sebahagian daripada China, tetapi mempunyai undang-undang, sistem pentadbiran dan matawang sendiri. Rakyat Hong Kong tidak mengakui mereka sebagai rakyat China, tetapi rakyat kepada wilayah Hong Kong atau dikenali sebagai ‘Hong Konger’.

Setelah dijajah United Kingdom selama 150 tahun, British menyerahkan semula wilayah itu kepada China pada 1997. Sehingga hari ini, sistem undang-undang Hong Kong menyerupai sistem British.

Perlembagaan Undang-undang Asas Hong Kong digunakan di wilayah tersebut tanpa campur tangan pemerintah China. Undang-undang ini memberi kebebasan media dan ekspresi kepada rakyat Hong Kong, berbeza dengan undang-undang China yang menghalang kebebasan tersebut.

Menurut prinsip Undang-undang Asas Hong Kong, wilayah itu berhak mentadbir secara demokrasi dan pegawai kerajaan China tidak akan masuk campur dengan pentadbiran wilayah itu dalam tempoh 50 tahun sejak diberikan semula kepada China.

Namun kebelakangan ini, Beijing (ibu negara China) mula mencabuli prinsip tersebut dan mengakui mempunyai bidang kuasa lengkap ke atas Hong Kong, membuatkan penduduk wilayah itu bangun menentang China.

Sejak beberapa bulan lalu, jutaan penunjuk perasaan memenuhi jalan dan bangunan kerajaan sehingga menyebabkan lapangan terbang di sana terpaksa ditutup.

Ratusan penunjuk perasaan ditangkap sehingga kini, membuatkan para perusuh semakin mendesak hak demokrasi dan mempersoalkan ‘kekejaman’ polis terhadap peserta demonstrasi.

Kenapa sasarkan lapangan terbang?

Pada awalnya, peserta menganggap lapangan terbang sebagai lokasi selamat untuk demonstrasi secara aman berbanding di jalanan di mana pertembungan antara polis dan perusuh sering berlaku.

Namun sejak Selasa lalu, polis mula berkawal di lokasi itu setelah lima hari demonstrasi berlangsung. Di lapangan terbang itu, para aktivis mengedarkan risalah dalam bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Korea dan Jepun untuk menerangkan tentang punca demonstrasi kepada pelancong antarabangsa.

Risalah tersebut turut mengandungi maklumat prosedur jika pelancong tertangkap di dalam protes tersebut ketika lawatan.

Pada Isnin lalu, hampir 200 penerbangan dari dalam dan luar wilayah itu terpaksa dibatalkan, diikuti dengan pembatalan penerbangan lebih banyak pada hari berikutnya.

Kredit: CNN

Kesan ekonomi

Hong Kong merupakan hub kewangan antarabangsa bagi China. Disebabkan protes tersebut, banyak syarikat mula melaporkan kerugian yang ditanggung akibat tekanan yang diberi.

Menurut Frank Chan, setiausaha pengangkutan Hong Kong, seramai 74 juta penumpang menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai destinasi untuk ke dalam dan luar negara pada tahun lepas.

Setiap hari, kira-kira 1,100 penumpang ke 200 destinasi menggunakan laluan itu sekaligus menyumbang 5 peratus pertumbuhan GDP Hong Kong secara langsung dan tidak langsung.

Disebabkan protes tersebut, pakar khuatir wilayah itu dielak oleh pelancong antarabangsa dan menjejaskan sehingga puluhan juta dolar, kata pengarah urusan AirlineRatings.com, Geoffrey Thomas.

Pihak berkuasa China yang memantau syarikat penerbangan turut mengarahkan syarikat terlibat untuk menyekat staf yang menyertai tunjuk perasaan tersebut dari pergi ke China.

Sumber: CNN

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.