Siakap Keli
Gambar: AJ Aeroservices

198,000 Liter Air Diguna Bagi Memadam Kebakaran Hutan Di Miri

MIRI, 16 Ogos (Bernama) — Sejumlah 198,000 liter air telah digunakan dalam operasi memadam kebakaran hutan melalui udara di Kuala Baram, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata dua penerbangan menggunakan pesawat Bombardier CL415 telah dilakukan oleh APMM, iaitu pada pukul 9 pagi dan 2 petang tadi.

“Hasil semburan air yang menggunakan kaedah water bombing ini ternyata terbukti  dalam  usaha mengawal api dari terus merebak.

“Setakat 4 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Institut Latihan Perindustrian Miri telah turun ke paras sederhana dengan bacaan 87.  Esok, APMM akan menjalankan dua lagi penerbangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Penglibatan APMM dalam operasi pemadaman itu bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi lain dalam mengawal kebakaran hutan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong dalam kenyataannya memaklumkan, keseluruhan kawasan yang berjaya dikawal dalam operasi bersama itu berkeluasan kira-kira 248 hektar.

“Dalam operasi pemadaman yang masuk hari ke-16 ini, pasukan STORM, Bomba Lopeng, Pasukan Naim dan APMM telah menggunakan pelbagai kaedah dalam usaha memadamkan kebakaran hutan di setiap sektor yang telah diagihkan. Operasi hari ini telah melibatkan sejumlah 52 anggota dan akan disambung semula esok,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.