Siakap Keli

Dikecam Sebelum Tayang, Mufti ‘Tegur’ Selepas Tonton “Demi Tuhan Aku Bersaksi”

Jika sebelum ini, hangat diperdebatkan terutamanya di media sosial mengenai Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi yang didakwa seolah-oleh memberi pandangan serong kepada institusi sekolah tahfiz.

Oleh itu, pelbagai pihak berwajib termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta untuk menonton dan memberi pandangan bagi menolak persepsi negatif masyarakat terhadap agama Islam.

Berikutan itu, pihak JAKIM sendiri telah mengeluarkan ulasan mereka mengenai drama yang terpalit dengan kontrovesi ini.

Pendapat Kami

Pendapat kami seperti berikut:

  • Lakonan yang dimainkan oleh pelakon secara keseluruhannya amat ‘menjadi’ dan kelihatan real. Tahniah kepada pengarah yang berjaya menghidupkan watak-watak dalam telemovie tersebut.
  • Jalan cerita amat menarik dan lain dari yang lain. Sekalipun mengisahkan berkenaan dengan mak nyah, tetapi ia pada mukadimahnya sahaja sebagai isyarat kelakuannya pada masa silam sebelum bertaubat.
  • Kesan perilaku maknyah dikekalkan oleh Hamid dari sudut percakapan dan lenggang lenggok dengan sifat ‘kelembutan’ dibawa hingga ke akhir kisah.
  • Gambaran pembelajaran di Tahfiz tidak dizahirkan kecuali sedikit iaitu ketika berada di pondok oleh gurunya.
  • Gambaran kebiadaban Latif kepada gurunya pada realiti jarang berlaku serta sikap guru tanpa usul periksa mengundang kesesalan pada akhirnya. Plot cerita yang menarik menggambarkan situasi sebahagian kehidupan.
  • Nilai pada cerita ini dan iktibar yang mungkin dapat diambil:
    1. Keseimbangan kehidupan dalam beribadah dan berinteraksi sesama kita. Iaitu ramai orang hanya menumpukan ilmu dan ibadat tanpa menyedari telah merosakkan hubungan sesama manusia bahkan menyakiti dan memfitnahnya.
    2. Bahana fitnah dan tuduhan melulu secara tergesa-gesa serta menjatuhkan hukuman tanpa soal selidik dan tabayyun[4]. Ini yang paling banyak terjadi dalam kehidupan kita.
    3. Sifat adil dalam menjatuhkan hukuman tidak berlaku pada episod awal kisah Hamid dibuang dengan hanya mempercayai sebelah pihak tanpa usul periksa. Inilah yang sering terjadi.
    4. Ilmu tanpa amal banyak mendatangkan mudarat. Iaitu sikap Latif dan rakan-rakannya yang telah bertahun belajar, namun masih tidak mampu membendung hasad, dan sikap buruknya menyakiti orang lain.
    5. Terdapatnya sikap terpuji dengan mengaku kesilapan diri dan memohon maaf. Begitu juga sifat pemaaf dizahirkan.
    6. Telemovie ini memaparkan sifat anak yang ingin berbakti kepada kedua ibu bapanya sekalipun beliau dalam kancah kehidupan yang gelap. Ini amat wajar diangkat kerana masih ramai yang sempurna tetapi melakukan pengabaian dalam berbakti kepada kedua ibu bapa sementelahan lagi ketika mereka di hujung usia dan ditimpa penyakit yang memerlukan sejumlah bantuan kewangan dan juga kasih sayang.

Cadangan Kami

Selepas menyaksikan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi, kami cadangkan beberapa perkara:

  • Bentuk trailer yang hendak disampaikan, jangan bersifat mengelirukan atau boleh mengundang persepsi yang tidak baik.
  • Nyatakan peringatan dengan nas Ilahi atau Hadyun Nabawi seperti isu tasyabbuh dan takhannuth[5]yang tidak dibenarkan dalam Islam.
  • Watak yang kembali kepada jalan sebenar hendaklah diubah pada hujung cerita agar sifat kelelakiannya dizahirkan sebagai lelaki tulen tanpa kesan dan pengaruh kemaknyahan dengan sebaik mungkin.
  • Memaparkan kesudahan yang baik dengan semua memahami kesilapan yang lalu dan kembali menjadi manusia yang berguna perlu ditekankan.
  • Kisah dengan mati terbakar memang dianggap sebagai syahid sepertimana yang telah kami paparkan dalam banyak kenyataan kami. Tetapi dalam isu ini, ia juga membawa kepada persepsi yang negatif dengan makna orang-orang yang baik mungkin mati terbakar. (Kami memahami maksud yang hendak disampaikan oleh pengarah).
  • Kami juga berpendapat, masih terdapat sisi yang boleh diperbaiki dan diislahkan dengan garapan yang lebih baik dalam menatijahkan telemovie ini dengan cemerlang.

Penutup

Berdasarkan ulasan di atas, kami bersetuju yang telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi adalah antara telemovie yang terbaik berkaitan isu pemuda yang ingin kembali dari sisi gelapnya untuk berubah menjadi manusia normal dan menghampirkan diri kepada Ilahi. Pengarah telah menyampaikan maksud yang hendak dinyatakan dengan olahan yang dapat difahami dengan begitu mudah, menarik dan amat baik.

Kami yakin telemovie seperti ini perlu digiatkan lagi agar masyarakat dapat menjadikannya sempadan dan teladan dalam mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan pancaroba serta tarikan ujian dalam pelbagai bentuk dan ragam. Sesungguhnya ilmu, iman, sokongan dari keluarga, masyarakat dan guru akan membentuk keperibadian unggul seseorang bahkan boleh menarik mereka yang sudah jatuh ke gaung kelalaian dan ghaflah untuk kembali menghayati sifat insani yang disulami dengan keunggulan akhlak serta tatabudaya setempat yang penuh dengan kesopanan dan ketatasusilaan.

Akhir kalam, sekali lagi kami nyatakan khilaf yang berlaku dalam komentar trailer telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi lebih bersifat andaian dan tidak melihat keseluruhan kisah yang ingin disampaikan oleh pengarah dalam olahan dan garapan telemovie ini. Tanpa apa-apa niat kecuali kami berdoa kepada Allah, semoga industri filem dan drama Malaysia boleh diangkat dengan lebih cemerlang lagi mengikut neraca Islam.

Kami begitu yakin dengan ramai pengarah filem atau drama yang berbakat, tetapi amat perlu dirujuk kepada ahli ikhtisas dalam bahagian agama atau badan berautoriti jika membabitkan isu-isu agama agar sebuah kefahaman dan sefahaman selari antara filem atau drama dengan agama. Menjadikan filem dan drama ke arah yang baik dan semangat patriotik adalah salah satu medium dakwah yang berpengaruh dan berkesan.[6]

Semoga Allah SWT memberi kepada kita kefahaman yang baik dan menunjukkan kepada kita jalan kebenaran. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Berdasarkan ulasan yang telah diberikan, penonton serta masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah membuat sebarang spekulasi berikutan belum mengetahui secara penuh jalan penceritaan drama tersebut. Walau bagaimanapun, pihak Jakim berpendapat bahawa drama ini mampu memberi pengajaran dan teladan kepada masyarakat umum.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa