Siakap Keli

Wanita Warga Emas Cedera Akibat Letupan Di Rumah

GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) — Seorang wanita warga emas mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan selepas berlaku letupan di dalam rumahnya di Tingkat 20 Pangsapuri Desa Green, Jalan Paya Terubong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.16 pagi itu, wanita berusia lingkungan 60-an berkenaan mengalami kecederaan kira-kira 15 peratus pada anggota badannya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku letupan di rumah itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di rumah tersebut, kami mendapati sebahagian dinding kediaman di bahagian bilik telah runtuh dan semasa kejadian terdapat seorang penghuni iaitu wanita berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, kesan daripada letupan itu turut menyebabkan keretakan pada dinding rumah sebelah, namun setakat ini punca letupan masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa