Siakap Keli
Kredit: Google

Kerajaan Terpaksa Belanja 4 Kali Ganda Hasil Cukai Rokok Untuk Rawat Penyakit Akibat Rokok – Timb. Menteri Kesihatan

Shah Alam, 20 Ogos – Setiap RM1 cukai rokok yang dikutip, RM4 digunakan kerajaan untuk merawat penyakit yang berpunca daripada amalan merokok.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, kerajaan terpaksa membelanjakan RM16 bilion setahun untuk merawat pelbagai penyakit akibat rokok seperti kanser, arteri koronori dan paru-paru.

“Jumlah perbelanjaan itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kutipan cukai rokok yang diperoleh kerajaan iaitu dianggarkan kira-kira RM4 bilion setahun,” katanya.

Tambahnya, jumlah perbelanjaan tersebut dianggar daripada kos rawatan yang diperoleh daripada fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan ke atas pesakit yang menghidap pelbagai penyakit berkenaan.

“Bagi setiap RM1 yang diperoleh daripada hasil cukai rokok, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM4 pula untuk merawat pesakit yang menghidap pelbagai penyakit berpunca daripada merokok.

“Seperti yang kita tahu, merokok merupakan antara punca kepada beberapa penyakit antaranya kanser, masalah jantung, dan masalah paru-paru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog Jaringan Pintar Program Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan adalah Pengarah Bahagian Pendidikan KKM, Suraiya Syed Mohamed.

Program berhenti merokok

Mengulas mengenai program berhenti merokok yang dijalankan oleh KKM, Dr Lee berkata bagi tempoh 2012 hingga 2018, seramai 73,836 perokok telah menyertai program berkenaan dan 23 peratus atau 16,930 individu berjaya berhenti merokok.

“Terdapat 46 hospital kerajaan dan 731 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara menyediakan perkhidmatan berhenti merokok dan kementerian berharap agar perkhidmatan ini dapat dihebahkan kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapannya berkata masalah merokok merupakan antara agenda nasional yang penting untuk disebar luaskan kepada masyarakat berikutan terdapat golongan perokok tegar yang sukar diyakinkan untuk berhenti daripada tabiat itu.

“Disebabkan itu, pihak kementerian telah mewartakan 23 kawasan sebagai tempat larangan merokok dan paling terkini adalah usaha menetapkan jarak tiga meter daripada premis-premis makanan sebagai koordinat larangan merokok.

“Pewartaan kawasan larangan merokok terutama di tempat makan adalah sebahagian usaha menyelamatkan individu bukan perokok daripada terus terdedah kepada asap rokok kerana pengunjung kedai makan dan restoran terdiri daripada masyarakat pelbagai peringkat usia dan jantina,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.