Siakap Keli
Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Kerana ‘Berbeza’, Kanak-Kanak Albino Ini Dibunuh Dan Badan Dikerat Untuk Pemujaan Ilmu Hitam

Nairobi- Seorang remaja lelaki albino yang berusia 15 tahun ditemui dalam keadaaan menyayat hati setelah hilang selama seminggu, kata jurucakap persatuan albino tempatan pada Ahad lalu.

Mangsa dibunuh dan beberapa bahagian badannya dikerat dipercayai untuk digunakan dalam aktiviti ritual.

Golongan Albino yang mempunyai gangguan genetik mempunyai kulit berwarna cerah dan berambut kuning kerana ketiadaan pigmen dikatakan menjadi sasaran pengamal ilmu hitam di beberapa negara di Afrika.

Remaja tersebut ditemui mati pada Sabtu lalu tidak jauh dari kampung halamannya, iaitu di barat laut negara itu berhampiran sungai Rusizi yang memisahkan Burundi dengan Republik Demokratik Congo.

“Remaja albino itu dibunuh kejam.. Pembunuhnya memotong kaki kanannya di bahagian lutut, lengan kanan dan lidahnya,” kata Kassim Kazungu, ketua persatuan Albinos Without Borders tempatan.

Sejak 2008, lebih daripada 20 orang albino dibunuh di Burundi dengan kes terakhir melibatkan kanak-kanak albino perempuan berusia 5 tahun yang ditemui dalam keadaan serupa selepas diculik dari rumahnya.

Kazungu berkata, seorang kanak-kanak albino lelaki berusia 4 tahun dilaporkan hilang sejak Oktober tahun lalu di kampung Cendajuri berhampiran sempadan Tanzania, tetapi dia tidak meletakkan harapan mangsa ditemui dalam keadaan hidup.

Beberapa orang pakar percaya permintaan bagi anggota tubuh albino di Tanzania menjadi galakan kepada pembunuhan dan serangan ke atas albino di kawasan berhampiran sempadan itu.

Mangsa diserang lelaki tidak dikenali yang bertindak memotong lengannya. (Sumber: Global Disability Organisation)

Ada antara pengamal ilmu hitam mempercayai kononnya bahagian tubuh tertentu manusia albino mampu digunakan untuk menarik kekayaan.

Amalan ritual tradisi

Nyawa golongan albino di negara-negara Afrika sering menjadi buruan pengamal ilmu hitam sehingga ada yang sanggup menggali kubur individu albino yang telah meninggal semata-mata untuk tujuan ritual.

Golongan ini dilabelkan dengan istilah yang merendahkan, antaranya inkawu yang bermaksud ‘babun putih’, isishawa yang bermakna ‘manusia yang terkena sumpahan’ dan zeruzeru yang membawa maksud ‘menyerupai hantu’.

Istilah zeruzeru kerapkali digunakan di Tanzania, negara yang mencatatkan kematian golongan albino tertinggi di Afrika.

Menurut laporan Under The Same Sun (UTSS), persatuan albino Kanada-Tanzania, ritual tersebut merupakan amalan tradisi turun temurun antaranya dalam kalangan kelompok berikut;

Suku Maasai (Kenya dan Tanzania)

Suku Maasai membunuh bayi albino dengan meletakkan bayi tersebut di hadapan kandang lembu. Apabila tiba masa untuk meragut rumput, lembu-lembu yang kelaparan akan berlari keluar dari kandang dan menginjak bayi tersebut.

Menurut kepercayaan mereka, jika bayi itu selamat, maka benarlah dia anak kepada si bapa dan jika bayi itu maut, hakikatnya adalah sebaliknya.

Puak Sukuma (Tanzania)

Pada zaman dahulu, puak ini dikatakan membunuh bayi mereka yang menghidap albino sejurus selepas lahir. Setelah dibunuh, bayi tersebut akan digunakan untuk ritual sihir.

Lama kelamaan, bomoh dalam kelompok berkenaan menasihatkan agar bayi albino tidak terus dibunuh, namun dibiarkan membesar menjadi dewasa dan dikebumikan hidup-hidup bersama ketua suku berkenaan yang mati.

Mereka mempercayai kelompok albino sebagai pengiring ketua mereka ke dunia selepas mati. Disebabkan kematian ketua merupakan perkara yang jarang berlaku, individu albino dalam suku berkenaan paling ramai berbanding suku lain di kawasan itu.

Monumen dibina bagi memperingati albino yang menjadi mangsa bunuh. (Kredit: Face 2 Face Africa)

Suku Chagga (Tanzania)

Suku ini secara tradisionalnya membiarkan bayi albino di semak dan hutan untuk mati. Amalan ini dilakukan berikutan kepercayaan bahawa bayi tersebut merupakan makhluk lain yang bukan manusia.

Suku Digo (Tanzania)

Suku ini membunuh bayi albino dengan menjatuhkan bayi tersebut ke dalam tasik. Mereka percaya jika bayi tersebut timbul di bahagian kanan tasik, bayi tersebut akan hidup manakala jika timbul di bahagian kiri tasik, bayi tersebut akan mati. UTSS berkata tiada bayi yang terselamat dalam acara tersebut.

Menurut laporan UTSS kepada United Nation (UN), walaupun ritual ini dilakukan pada masa lalu, masih ada kemungkinan ia masih diamalkan di kawasan-kawasan pedalaman terutamanya dalam kalangan suku yang mempunyai pengurangan individu albino.

Sumber: Japan Times, Global Disability Organisation, Face2face Africa

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.