Siakap Keli
Gambar Hiasan

Polis Tahan Suspek Bakar Masjid Di Padang Terap

ALOR SETAR, 20 Ogos – Seorang lelaki  ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran membabitkan mimbar dan permaidani Masjid Padang Setol dekat Padang Terap, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Noh Idris berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 3 petang di Kampung Tanjung Pedu di daerah sama.

“Semakan awal mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah berkaitan khianat serta judi dan kita ada bukti kukuh yang boleh mengaitkan suspek dengan jenayah khianat terhadap pusat ibadat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya polis akan menjalankan siasatan bagi mengetahui motif kejadian dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pelbagai andaian yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Hoh berkata dalam kejadian kira-kira 5.40  pagi semalam, seorang jemaah  yang hendak menunaikan solat subuh  terkejut apabila mendapati  kesan kebakaran pada bahagian mimbar dan permaidani masjid itu dan kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.

Beliau berkata kejadian seumpama itu merupakan kali keempat berlaku di beberapa masjid di negeri ini iaitu di Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang di daerah Pendang dan sebuah lagi di Masjid Tok Keling, di sini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)