Siakap Keli
Gambar Hiasan

Akibat Cemburu, Lelaki Tikam Teman Lelaki Bekas Kekasih

GEORGE TOWN, 21 Ogos – Seorang lelaki parah apabila ditikam pada bahagian perut oleh seorang peniaga dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Lorong Abu Sitti di sini, kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang hari ini berkata suspek berumur 54 tahun itu yang menaiki sebuah motosikal telah datang ke pusat hiburan berkenaan dan terus menikam bahagian perut pengunjung lelaki berusia 40 tahun itu menggunakan sebilah pisau.

“Semasa kejadian tersebut, pemilik pusat hiburan berusia 46 tahun yang berada di situ cuba menahan suspek yang mahu melarikan diri tetapi turut ditikam di bahagian tangan sebelum lelaki itu memecut laju motosikalnya,” katanya di sini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang cedera itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Che Zaimani berkata ekoran kejadian itu, polis telah merekodkan keterangan bekas teman wanita suspek berumur 46 tahun yang memaklumkan mereka telah berpisah sejak lebih sebulan lepas kerana perselisihan faham.

Katanya wanita berkenaan turut memaklumkan bekas teman lelakinya itu merupakan rakan kongsinya dalam perniagaan sebuah kedai makan dan mereka tinggal bersama sejak enam tahun lepas.

Menurutnya, wanita itu percaya suspek berbuat sedemikian berikutan cemburu dan marah dia telah menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan bertindak menikam teman lelaki baharu wanita itu.

“Ekoran kejadian itu, polis menyerbu sebuah pondok di Hong Seng Estate, Pulau Tikus di sini pukul 6 pagi hari ini hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, kami berjaya menahan suspek dalam kejadian tikam tersebut,” katanya.

Katanya lelaki yang sudah berkahwin itu mengaku terlibat dalam kejadian terbabit dan dia akan direman untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)