Siakap Keli
d89a1438-d89b-40be-8df3-dbd7993fa694

Bahan Kimia “Aluminium Dross ” Terbakar Di Stor Penyimpanan Kilang Di Pontian, Johor

JOHOR BAHRU, 21 Ogos — Sebuah beg berisi bahan kimia iaitu “Aluminium Dross” seberat 500kg yang disimpan di stor penyimpanan sebuah kilang dekat Jalan Perindustrian 5, dekat Pontian terbakar, petang tadi.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Iqbal Raduan berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 3.40 petang tadi, dan sehingga pukul 9.45 malam, operasi mengawal kebakaran masih diteruskan.

Menurutnya sebuah jentera bomba dengan kekuatan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang, dan sebaik tiba mereka mendapati kilang yang tidak berpenghuni itu menempatkan 500 beg bahan kimia berkenaan, dengan tiap satu beg seberat sekitar 500kg.

“Daripada 500 beg itu, hanya satu beg sahaja yang terbakar, dan setakat ini pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke luar kawasan kilang, namun, alat pengesan gas (gas detector) menunjukkan kadar bacaan karbon monoksida yang tinggi di kawasan yang terbakar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Iqbal berkata pihaknya juga masih menunggu bantuan jengkaut daripada Majlis Daerah Pontian untuk memindahkan 499 beg bahan kimia itu yang masih belum terbakar, dan menurutnya proses pemadaman juga tidak boleh dibuat dengan menggunakan air kerana bahan yang terbakar itu akan bertindak balas dengan air dan mengeluarkan gas berbahaya.

Menurutnya dalam masa sama, pihak bomba juga sudah memaklumkan tentang kebakaran bahan kimia itu kepada Jabatan Alam Sekitar.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.