Siakap Keli

Lebih 100 Anggota Polis Dikesan Positif Dadah – KPN

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi ‘Op Blue Devil’ yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata kesemua anggota dikesan positif dadah menerusi óperasi berkenaan yang dijalankan bermula 13 Ogos dan beliau turut terkejut dengan jumlah tersebut yang disifatkan berada pada tahap kritikal dan serius.

“Kali ini saya mengambil pendekatan secara menyeluruh yang mana tindakan turut diambil ke atas warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melancarkan Op Blue Devil yang mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menjalani ujian air kencing dan ada yang didapati positif pelbagai jenis dadah terutamanya syabu.

“Jika warga PDRM yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi mereka sendiri pun terlibat dengan kegiatan ini, apa hendak jadi dengan negara ini,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata angka berkenaan yang amat membimbangkan menunjukkan bahawa tahap penyalahgunaan dadah di negara ini sudah berada pada tahap kritikal.

“Bayangkan keadaan yang pernah berlaku di Amerika Latin dahulu (masalah dadah dalam kalangan anggota penguat kuasa), maka usaha pencegahan penyalahgunaan yang menyeluruh mesti dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan dan arahan jelas telah diberikan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tidak ‘berehat’ dalam operasi berkenaan.

Abdul Hamid berkata tindak-tanduk anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sudah dijangka dan terbukti kerana mereka turut terlibat dalam kes-kes pemerasan, rasuah, ugut dan menjadikan pekerja-pekerja asing sebagai mangsa.

“Saya sudah syak, jadi mereka inilah yang saya sasarkan (pegawai dan anggota terlibat dadah), selain kumpulan-kumpulan tertentu dalam unit-unit di bawah PDRM, maka terbukti memang perkara ini adalah sebenarnya apa yang berlaku.

“Maklumlah kos untuk memenuhi tabiat itu tinggi kerana dadah dibeli dengan harga yang tinggi dan dengan gaji yang kecil, mereka ini (anggota dan pegawai penagih dadah) terpaksa mencari wang dengan cara haram,” katanya.

Beliau berkata usaha itu adalah cara untuk membersihkan PDRM daripada elemen rasuah dan meningkatkan integriti.

Selain itu, Abdul Hamid berkata operasi pencegahan penyalahgunaan dadah itu juga merupakan operasi serampang dua mata dengan menyasarkan serbuan ke atas makmal-makmal memproses dadah, pengedar serta penagih dadah.

“Tindakan ini dijangka memberi impak yang baik dalam usaha saya untuk membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJN Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi berkata dalam Op Blue Devil yang dijalankan sehingga semalam, seramai 3,438 anggota PDRM telah menjalani ujian saringan air kencing.

“Kami sudah imbas dahulu anggota PDRM yang disyaki terbabit dengan dadah. Setelah kita kenal pasti, mereka ini diarahkan menjalani ujian air kencing dan didapati ada antaranya positif,” katanya.

Beliau berkata seramai 86 anggota polis didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam individu positif Amphetamine dan Opiat manakala selebihnya dua individu positif ganja dan seorang positif ketamin.

Mohd Khalil berkata anggota polis yang didapati positif dadah ini akan dikenakan tindakan undang-undang sama seperti orang awam iaitu mereka akan menerusi proses siasatan polis seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)