Siakap Keli
Gambar hiasan.

Sistem E-Testing Bakal Ganti Kaedah Lama Ujian Lesen Memandu, Penguji Tak Perlu Teman Pelajar Dalam Kereta

KEPALA BATAS, 23 Ogos (Bernama) — Pemantauan pemanduan secara manual oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ujian akan digantikan dengan penilaian atas talian pada masa akan datang, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Kaedah manual pada hari ini memerlukan seorang pegawai JPJ untuk memantau di sebelah pelajar ketika ujian memandu, namun dengan pelaksanaan e-testing, mereka tidak lagi perlu berada dalam kenderaan untuk membuat penilaian.

Ketika ini, kerajaan dalam proses melakukan pemindaan terhadap kaedah ujian lesen memandu sedia ada bagi membolehkan E-Testing dapat dilaksanakan di masa akan datang.

“Ini memberikan kelebihan kepada pihak JPJ dan kalau ada apa-apa pertikaian oleh pelajar tersebut, kita ada rakaman video. Ini satu perkembangan yang memang kita alu-alukan. Cuma di peringkat JPJ sekarang kita perlu membuat pindaan kaedah.

“Kaedah untuk ujian lesen memandu sedia ada, mesti kena ada penguji di sebelah pelajar. Itu yang kita nak buat pindaan kaedah. Kita harap dapat buat pindaan kaedah ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat sistem latihan dan ujian memandu berkomputer yang dibangunkan Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), di sini.

Katanya, kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk melaksanakan sistem tersebut kerana ia bergantung kepada institut pemanduan untuk menyediakan sistem tersebut. Kementerian hanya akan meluluskan sistem itu selepas pindaan dibuat.

Syarikat atau institut pemanduan yang bercadang untuk membangunkan e-testing itu perlu memenuhi setiap peringkat proses sebelum mendapat kelulusan JPJ bagi menggunakan sistem tersebut, kata Loke.

“Sekolah memandu mesti secara rasmi memohon kepada JPJ, mengemukakan bukti konsep, menjalankan ujian perintis, menjalankan ujian penerimaan pengguna dan ujian penerimaan akhir sebelum ia boleh diluluskan. Ia mesti memenuhi piawaian JPJ,” tambahnya.

Sementara itu, beliau juga menggalakkan mana-mana syarikat atau institut memandu untuk menyuarakan pandangan bagi sistem tersebut supaya ia tidak dikuasai oleh satu pihak sahaja.

Setakat ini, projek rintis sistem berkenaan sedang dilaksanakan di sebuah sekolah memandu di Johor.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.