Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hentikan Serta Merta Tindakan Yang Boleh Jejas Ketenteraman Awam – KPN

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Polis hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak memainkan isu-isu sensitif dan menghentikan serta merta semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan termasuk perhimpunan-perhimpunan aman yang dirancang.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador ketika memberi amaran itu berkata polis akan mengambil tindakan sebagaimana diperuntukan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kita hendaklah mempunyai rasa hormat dan toleransi antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata bagi memastikan tidak wujud sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam, polis telah menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kes-kes membabitkan isu-isu sensitif yang dilaporkan iaitu isu bendera terbalik, ceramah Dr Zakir Naik dan tulis jawi.

Siasatan kes isu Zakir hampir dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut, katanya sambil memberitahu sebanyak 515 laporan diterima berhubung isu itu.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan Zakir serta dan beberapa saksi berkaitan telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Zakir juga akur dengan arahan polis untuk tidak lagi meneruskan siri jelajah ceramahnya di seluruh negara,” katanya

Mengenai isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik, Abdul Hamid berkata polis menerima 68 laporan polis dan 19 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyan 504 Kanun Keseksaan dan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

Abdul Hamid berkata bagi kes isu tulisan jawi, sejumlah 24 laporan polis diterima dan polis telah memanggil Pengerusi Persatuan Dong Zhong serta Setiausaha persatuan itu ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan mereka.

“Kes masih dalam siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.