Siakap Keli
Kredit: UN Special Rapporteur

PBB Dakwa Kemiskinan Di Malaysia Lebih Tinggi Dari Data Rasmi, Kerajaan Kaji Semula Kaedah Ukur

PETALING JAYA, 23 Ogos — Kerajaan akan mengkaji semula dakwaan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan kadar kemiskinan di Malaysia melebihi kadar dikeluarkan data rasmi, kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita akan mengkaji apa yang mereka katakan untuk mengetahui sama ada ia benar atau tidak,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal dan ulang tahun ke-4 MyPerintis di sini semalam.

Pelapor Khas PBB, Philip Alston melaporkan bahawa angka rasmi kemiskinan di Malaysia tidak tepat dengan keadaan semasa.

“Walaupun Malaysia mencapai pembangunan yang impresif dalam mengurangkan kadar kemiskinan dalam tempoh 50 tahun lalu, dakwaan rasmi yang menyatakan kemiskinan telah dibanteras atau hanya ada di kawasan luar bandar adalah tidak tepat dan mengganggu penggubalan dasar,” kata Alston setelah menamatkan lawatan 11 hari di negara ini.

“Kadar kemiskinan Malaysia menurun daripada 49 peratus pada 1970 kepada 0.4 peratus pada 2016. Walaubagaimanapun, garis kemiskinan kebangsaan pada RM980 per isi rumah setiap bulan akan menjadikan keluarga di bandar dengan empat orang anggota keluarga meneruskan hidup dengan RM8 setiap orang setiap hari.

“Kadar kemiskinan sebenar amat tinggi berbanding data rasmi. Kerajaan perlu menilai semula kaedah mereka menilai kadar kemiskinan supaya kesusahan yang dialami oleh ramai rakyat Malaysia tidak tercicir dari statistik,” katanya.

Alston melawati beberapa negeri di Malaysia antaranya Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak bermula pada 13 Ogos lalu sehingga semalam.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengubah kaedah pengukuran tahap kemiskinan susulan dakwaan itu, Dr Mahathir berkata: “Sekiranya perlu, kita akan berbuat demikian.”

Sumber: BERNAMA, UN Human Right Special Procedure Report

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.