Siakap Keli
Gambar: Bernama

“Makcik Takkan Maafkan Dosa Mereka,” Warga Emas Terkenang 5 Ahli Keluarganya Dibunuh Komunis

Mencapai sebuah kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah, tapi tidak dinafikan bahawa ada segelintir masyarakat yang terlalu selesa dengan keamanan negara ini sehinggakan culas untuk menghargai pengorbanan para pejuang terdahulu.

Ya, mungkin kerana mereka sendiri tidak pernah merasakan betapa peritnya berada dalam zaman itu. Hanya sekadar mendengar cerita tentang kemerdekaan tanpa benar-benar menghayati.

Justeru, seorang warga emas yang dikenali sebagai Tik Sulong (86) ingin berkongsikan kisah yang terjadi pada dirinya sendiri.

Mak cik  tidak akan maafkan dosa anggota pasukan komunis  ‘Bintang Tiga’ yang membunuh dengan kejam lima ahli keluarga mak cik sampai bila-bila.

Sesekali Tik yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mak Itam’ dikalangan penduduk Sungai Udang membetulkan kedudukanya di atas kerusi roda tanpa melepaskan bingkai potret yang diambil  bersama  ahli keluarga ketika beliau berusia 15 tahun.

“Mereka (Komunis)  bunuh ibu, Temun Manang dan empat lagi ahli keluarga mak cik tanpa rasa belas kesian walaupun berkali-kali arwah merayu agar tidak dibunuh dan wajah setiap pembunuh masih mak cik ingat hingga ke hari ini,”katanya sambil membacakan surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada arwah ahli keluarganya yang terbubuh pada kira-kira pukul 6.00 pagi tanggal 10 Jun 1945.

Lima keluarga Tik yang mati dibunuh komunis ialah ibunya, Temun Manang, adik lelaki berusia dua tahun dan dua orang anak saudaranya yang masih kecil dibunuh dengan kejam di hadapan mata manakala abang ipar mati hangus selepas komunis membakar rumah.

Menceritakan detik hitam itu, Tik berkata ketika kejadian beliau dan ahli keluarga lain baharu selesai mengerjakan solat Subuh di rumah.

Manakala bapanya  Sulong Mohammad merupakan ketua kampung tiada rumah kerana ke sawah bagi memantau pekerja upahan  menuai padi pada ketika itu.

“Ibu pada masa itu sedang memasak air sebelum menyediakan sarapan pagi, tiba-tiba terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu diukuti bunyi tembakan senapang berbalas-balas dan juga suara jeritan orang kampung  memberikan amaran supaya lari kerana komunis sedang menyerang.

“Mak cik berlari menarik tangan ibu serta adik yang masih kecil berumur dua tahun setengah keluar menerusi pintu belakang rumah ,”katanya.

Tik berkata beliau bersama ibu serta adik bongsunya berlari ke kolam ikan yang terletak kira-kira 10 meter dari belakang rumah.

Namun beberapa orang komunis dengan kejam menikam dengan lembing bahagian perut dan kemaluan ibunya.

“Ketika menahan kesakitan akibat ditikam ibu sempat merayu kepada komunis agar tidak membunuh adik bongsu, namum tanpa rasa belas kasihan komunis menikam bertalu-talu hingga ibu dan adik menghubuskan nafas terakhir,”katanya.

Katanya pada ketika itu beliau menyorok  dalam air paras dada di sebalik tumbuhan daun keladi yang memenuhi kolam ikan.

Tik berkata, dalam masa sama, kakaknya sempat melarikan diri namun anak yang didukungnya berusia tiga tahun terlepas kerana kain dukungan terlucut dan ditikam bertalu-talu oleh komunis.

Sementara suami bersama anak perempuannya kakaknya yang berumur lapan bulan turut mati ditikam di tingkat atas rumah kerana tidak sempat lari sebelum komunis bertindak membakar rumah berkenaan

“Tidak dapat saya lupakan bagaimana anak saudara menggelupur kesakitan selepas sejengkal isi perut terkeluar angkara tikaman komunis.”

“Selepas komunis berlalu pergi, tentera Jepun bersama orang-orang kampung datang mencari dan memanggil nama ahli keluarga masing-masing dan ayah saya bagaikan orang gila hendak terjun dalam api yang sedang marak menyala kerana menyangkakan kami semua berada di dalam rumah ketika api sedang marak.

“Lima orang ahli keluarga kami terbunuh dalam tragedi itu, manakala lima orang lagi dari kalangan penduduk kampung yang lain. Jenazah abang ipar yang mati terbakar hanya tinggal sehasta. Suasana pengebumian kelima-lima jenazah ahli keluarga kami amat memilukan,” katanya.

Tik berkata  selepas tragedi itu, beliau sekeluarga yang terselamat tinggal menumpang selama empat malam di rumah orang yang bersimpati dengan nasib mereka di Batu Pahat sebelum berpindah dan menetap di Sungai Udang, Melaka.

Katanya pengalaman menyaksikan sendiri lauangan keramat ‘Merdeka’ oleh Tunku Abdul Rahman di padang Banda Hilir Melaka, pada 20 Feb 1956  adalah pengalaman paling manis dalam hidupnya setelah mengalami liku-liku kesusahan pada zaman sebelum Kemerdekaan negara.

“Sebelum Tunku ke London, saya dilantik sebagai wakil wanita Sungai Udang yang bertanggung jawab mengutip derma dan sumbangan daripada orang ramai untuk menampung kos rombongan tunku bagi mendapat kemerdekaan daripada penjajah British.

“Pada ketika itu semua bangsa dari kaum hawa dengan rela hati menanggalkan barang kemas pada badan masing-masing untuk didermakan kepada rombongan kemerdekaan Allhamduillah perit, pedih, sedih yang dilalui sebelum ini terubat apabila Malaysia akhir mencapai kemerdekaan,”katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.