Siakap Keli
Gambar: Bernama

”Ambulans Datang Tak Buka Siren, Kami Menangis Sebab Tahu Ia Bawa Jenazah Suami” – Isteri Bekas Komando

Kerana pengorbanan generasi terdahulu yang memperjuangkan kedaulatan negara dengan peluh dan darah, kita dapat menikmati keamanan dan kemajuan hari ini.

Sebagai isteri pasukan keselamatan, perpisahan pasti menyakitkan kerana ia bermakna tiada khabar sehinggalah suami pulang ke pangkuan.

“Suami tidak bagi tahu berapa lama akan pergi operasi, cuma kata pergi gerakan (banteras komunis), semasa itu pula tiada telefon, jadi kita tunggu sajalah bila dia akan balik,” kongsi Siti Patimah Harun, 63 isteri kepada seorang anggota VAT 69 Komando.

“Kalau kita dengar bunyi enjin trak polis atau helikopter tidak kira masa, kita isteri-isteri komando ini cepat-cepat turun ke sekitar kawasan berek untuk tengok, sebab tahu suami masing-masing dah balik,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kali suaminya terlibat dengan misi yang lama, hatinya tidak pernah tenang kerana komunikasi mereka terbatas.

Justeru, mereka ternanti-nanti bunyi trak atau helikopter yang menandakan kepulangan suami mereka dari medan perjuangan.

Very Able Trooper 69 (VAT69) merupakan salah satu cabang Pasukan Gerakan Khas (PGK) yang berfungsi menentang keganasan. (Kredit: Discover Elite Police)

Kepulangan tak semestinya bawa bahagia

Namun, kepulangan para suami tak semestinya menjadi khabar gembira. Ada yang pulang tanpa fizikal sempurna dan ada yang pulang tanpa nyawa.

Siti Patimah berkata, apabila apabila datang helikopter dan ambulans tanpa siren, para isteri akan saling berpelukan dengan linangan air mata kerana tahu ia membawa jenazah suami, seorang daripada mereka.

Ibu kepada tiga anak ini turut berkongsi pengalaman ketika suaminya, Baharuddin Ahmad Junan, 73, terlibat Operasi Bamboo II untuk menentang ancaman Parti Komunis Malaya di sempadan Malaysia-Thailand pada 1978.

Katanya, beliau sedang sarat mengandung anak keduanya berusia enam bulan sebelum diberitahu suaminya perlu turun ke medan operasi berkenaan.

“Selepas seminggu suami pergi, ketika saya sedang suap anak sulung makan tengah hari di berek di Ipoh, datang seorang anggota polis beritahu suami saya cedera semasa bertugas dan dirawat di Hospital Pulau Pinang. Dia kata cedera sikit saja.

“Ketika sampai di hospital, saya amat terkejut tengok keadaan suami sangat teruk dengan 28 jahitan di kepala selain patah tangan kiri. Paling saya terkejut apabila suami seolah-olah hilang ingatan,” katanya mengimbau kembali kecederaan yang dialami suaminya ketika menyediakan tempat pendaratan helikopter.

Walaupun pernah melalui detik yang dianggap tragis dalam kehidupan, Patimah tidak pernah melarang suaminya daripada meneruskan perjuangan kerana beliau sedar, perjuangan tersebut adalah untuk generasi sendiri pada masa depan.

“Suami kata tak tahu balik ke tak..”

Bagi Siti Hanipah Omar, 59, pula menjadi isteri kepada seorang komando lebih-lebih lagi semasa zaman komunis memerlukan kekuatan dan kecekalan diri untuk menghadapi sebarang situasi pada bila-bila masa.

Katanya ketika perkahwinan beliau baru mencecah usia seminggu, suaminya Basrah Jali terlibat dalam operasi selama tiga minggu iaitu pada 1982.

“Saya menangis siang dan malam kerana tiada siapa-siapa di sini disebabkan saya berasal dari Dengkil, Selangor dan selepas tiga hari kahwin pindah ke Tanjung Rambutan. Suami pesan jaga diri dan beritahu dia tidak tahu balik ke tak balik walaupun kata tiga minggu, ” katanya.

Siti Hanipah berkata paling menyedihkan apabila wang yang ditinggalkan oleh suami telah habis atau ketika itu diri tidak sihat, namun semua itu tidak pernah membuatnya menghalang suami daripada terus melaksanakan tugas.

Sementara itu, Mastura Ramly, 66, dari Melaka berkata suaminya Abd Ghani Mahmood yang juga anggota VAT 69 Komando kerap terlibat dalam operasi menghapuskan komunis dan disebabkan itu hubungan dengan para isteri anggota yang lain sangat erat.

“Kita masing-masing tahu suami pergi bertugas lama, maka yang tinggal terdekat dengan kita adalah jiran. Susah senang merekalah tempat kita mengadu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Arifah

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Arieffahmi

Tambah komen