Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Zillow)

Rancang Beli Rumah, Ini 5 Tips Mudah Untuk Memilih Lokasi Yang Paling Tepat Untuk Anda

Memiliki rumah sendiri adalah impian bagi setiap orang dewasa pada hari ini. Namun, disebabkan harganya yang bukanlah murah, tidak ramai yang berkemampuan untuk memilikinya.

Setelah penat berusaha mengumpul wang ringgit, sudah pasti kita mahu membeli rumah yang paling sempurna untuk didiami bersama yang tersayang.

Oleh itu, pada kali ini kami akan kongsikan lima petua atau tips untuk memilih lokasi rumah kediaman yang terbaik untuk anda. Petua ini telah dikongsikan di laman Hartabumi.com terlebih dahulu.

Lokasi hartanah yang strategik. Ini merupakan perkara yang amat penting dari segi pemilihan dan pembelian rumah. Terdapat banyak petua untuk memudahkan kita membuat pilihan yang baik.

1) Akses kepada Lebuhraya dan Pengangkutan Awam

Lebuhraya berfungsi untuk mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas. Hartanah yang mempunyai kemudahan ini juga boleh meningkat daripada sudut permintaan serta nilai sewaan. 

Antara faktor yang boleh kita ambil kira adalah jarak hartanah ke pusat bandar, melalui akses lebuhraya yang ada.

Foto: myrapid

Kalau jarak lebih dekat, hartanah itu boleh disewa dengan kadar yang lebih tinggi. Pengangkutan awam juga memainkan peranan penting untuk memudahkan perjalanan anda ke tempat kerja dan sebagainya.

2) Kod Daerah dan Direktori Sekolah 

Kementerian Pendidikan Malaysia hanya membenarkan anda menghantar anak-anak anda ke sekolah yang tersenarai dalam direktori sekolah mengikut daerah tempat tinggal anda.

Perancangan untuk pendidikan si anak haruslah dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa pembelian.

3) Kejiranan Yang Baik

Suasana kejiranan memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti hidup anda.

Antara perkara yang harus dipertimbangkan adalah, kemesraan jiran, kebersihan dan juga kesesakan jalan terutamanya ketika waktu ‘rush hour’.

Gambar Hiasan(Foto: Express UK)

Anda disarankan bersiar-siar di kawasan perumahan anda pada waktu-waktu berlainan dan juga untuk bertegur sapa dengan bakal jiran anda. 

4) Nilai Semasa dan Masa Depan Hartanah

Pembeli digalakkan membuat kaji selidik tentang harga semasa hartanah yang ingin dibeli. Perkara ini penting kerana kita mungkin ingin menjual rumah tersebut di masa hadapan. 

Anda boleh mengkaji harga sewa hartanah sekeliling kawasan kediaman anda. Adakah lokasi tersebut kawasan baru atau lama?

Biasanya, kawasan baru penuh dengan potensi pembangunan. Anda boleh membuat kajian tentang projek yang sedang dalam perancangan atau pembinaan. 

5) Kemudahan 

Jangan sesekali terlepas pandang aspek penting ini. Bukan soal sombong, soal kemudahan hidup anda sekeluarga. Perkara ini akan memberi impak besar terhadap rutin harian dan juga gaya hidup.

Kalau boleh, belilah hartanah berdekatan kawasan yang tersedia lengkap dengan segala-galanya. 

Gambar Hiasan(Foto: The City of Red Deer)

Antara kemudahan asas termasuk pasaraya dan pusat membeli-belah, tempat makan, jenis-jenis sekolah, kolej atau universiti hospital dan pusat rekreasi.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat serba-sedikit membantu anda yang sedang mencari rumah yang sesuai untuk dimiliki ketika ini.

Sumber: Hartabumi

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.