Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Wikipedia/Internapoli)

Kanak-Kanak Hilang Ketika Mandi Sungai Ditemukan Lemas

SIBU, 27 Ogos (Bernama) — Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang semasa mandi bersama bapa dan sepupu lelakinya di Sungai Rejang, di kawasan Sungai Bidut pada pagi Ahad lepas, ditemukan lemas 10.30 malam tadi.

Mayat Julia Purnama, 7, dijumpai bapanya yang dibantu rakan-rakan dan penduduk setempat selepas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 6 petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bapa mangsa membuat laporan penemuan mayat anaknya kepada bilik kawalan pada 11.24 malam.

Menurut jurucakap itu, sepasukan bomba telah digerakkan ke lokasi dan mereka dimaklumkan mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 30.48 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Menurut jurucakap itu, bapa mangsa dan rakan-rakan sebelum itu berikhtiar dengan membaca surah Yasin di surau dan kemudiannya mencurahkan air bacaan surah Yasin di tempat kejadian.

“Selepas itu mereka menunggu di jeti pertama tempat kejadian dan tak lama kemudian mayat mangsa timbul di jeti kedua yang jaraknya kira-kira 30.48 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada 12.30 tengah malam.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.