Siakap Keli
Gambar : The Sindh Times/sekadar hiasan

25 Anggota Tentera Maut Dalam Serangan Hendap Houthi Di Utara Yaman

Aden (Yaman) : Kira-kira 25 anggota tentera kerajaan Yaman terbunuh pada Selasa dalam serangan besar-besaran yang dilancarkan pemberontak Houthi di utara wilayah Saada, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tentera.

“Kumpulan Houthi melakukan serangan hendap ke atas sejumlah anggota tentera yang sedang mara di timur kawasan Kataf di Saada,” kata pegawai tentera itu yang enggan identitinya didedahkan.

Beliau berkata serangan itu menyebabkan 25 anggota tentera maut manakala ramai lagi cedera sambil menambah bahawa pemberontak Houthi turut menawan beberapa tentera.

Hadi Tarshan, gabenor Saada, mengesahkan kepada Xinhua bahawa konfrontasi sengit itu berlanjutan selama tiga hari berturut-turut berhampiran Kataf.

Tarshan berkata tentera kerajaan telah menghantar sejumlah besar pasukan bantuan untuk membantu unit tentera dalam pertempuran itu.

Tentera kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi itu kini berusaha mara ke kubu utama kumpulan pemberontak Houthi di Saada meskipun berdepan penentangan sengit.

Saada dianggap sebagai kubu utama Houthi dan beberapa bahagian wilayah itu terletak berhampiran sempadan Yaman dan Arab Saudi.

Arab Saudi telah mengetuai gabungan tentera Arab bagi menentang Houthi di Yaan selama lebih empat tahun dalam usaha menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa di bawah pentadbiran Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen