Siakap Keli
Gambar: Selangorkini

Fenomena Air Pasang Besar Diramal Melanda Pesisir Pantai Lima Daerah Di Selangor

SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) — Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah 5.7 meter diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor pada Sept dan Okt ini.

Unit Pengurusan Bencana Selangor dalam satu kenyataan memberitahu, fenomena air pasang besar itu diramal berlaku pada tarikh-tarikh tertentu iaitu bermula Ahad dan Isnin ini, serta 29 dan 30 Sept selain 1, 2, dan 27 hingga 30 Okt.

Menurut kenyataan itu, lima daerah terlibat adalah Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, yang melibatkan 49 kawasan dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya fenomena itu disertai hujan lebat dan angin kencang.

Antara kawasan yang berkemungkinan berlaku banjir adalah persisir Pantai Bagan Lalang dan Kampung Tanjung Rhu di Sepang, Pantai Kelanang dan Tanjung Sepat di Kuala Langat, Kampung Tok Muda dan Pelabuhan Klang di Klang, Pantai Remis dan Bagan Tengkorak di Kuala Selangor serta Pantai Bagan Sungai Besar dan Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam.

“Penduduk di kawasan berisiko diminta supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi keselamatan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Justeru, bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir, unit berkenaan bersedia untuk membuka 21 pusat pemindahan bagi memindahkan mangsa sekiranya ada.

Antara pusat permindahan yang disediakan adalah di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Sepang, Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang di Kuala Langat, Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang dan Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di Klang, Institut Pengurusan Peladang, dan Dewan Orang Ramai, Jeram di Kuala Selangor dan Dewan Sri Sekincan dan Dewan Sri Bernam di Sabak Bernam.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa