Siakap Keli
Gambar : KPN Datuk Seri Abdul Hamid Bador/Bernama

Kes Gaduh Bawa Parang Di Sarawak Bukan Isu Perkauman – KPN

Kuala Lumpur : Kes pergaduhan di Padawan, Sarawak, yang membabitkan sekumpulan lelaki, dengan seorang daripada mereka mengeluarkan parang, yang menjadi tular di media sosial hari ini, bukanlah isu perkauman, sebaliknya ia berkaitan kes penipuan, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar jangan cepat percaya hasutan dengan mengatakan kejadian itu berbaur perkauman, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan. Mohon tentukan faktanya sebelum terpengaruh, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan memburu individu yang mengeluarkan parang dalam kes gaduh itu,” katanya kepada sumber.

Abdul Hamid berkata kejadian itu sebenarnya adalah kes penipuan yang melibatkan seorang lelaki yang menipu sekumpulan lelaki dengan menjanjikan habuan lebih kepada mereka jika menang loteri.

“Kumpulan lelaki itu telah mencari suspek sejak beberapa hari lepas dan sebaik terserempak dengan suspek hari ini, mereka cuba menahannya. Tindakan mengepung suspek tidak menjadi masalah… tetapi yang menjadi masalah kenapa salah seorang daripada mereka perlu membawa parang?” katanya.

Katanya polis sedang berusaha mengesan individu yang membawa parang kerana tindakan itu merupakan satu ugutan jenayah, satu kesalahan undang-undang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Polis juga katanya telah menahan dua lelaki tempatan kerana cubaan menipu dalam kes berkenaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.