Siakap Keli

MyKad Didakwa Milik Warga China Yang Tular Di Media Sosial Palsu – JPN

Kuala Lumpur : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan MyKad didakwa milik beberapa warga China yang tular di media sosial adalah palsu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JPN menjelaskan gambar-gambar yang ditularkan itu merupakan kes pemalsuan dokumen pada tahun 2015 yang telah diambil tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“JPN mengesahkan bahawa semua MyKad yang ditularkan itu adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh JPN. Kesemua maklumat seperti nombor kad pengenalan, gambar dan cap jari pada MyKad itu tidak wujud dalam sistem JPN,” kata kenyataan itu.

Orang ramai juga diminta segera menghentikan penyebaran gambar-gambar itu di media sosial bagi mengelak sebarang kekeliruan dan seterusnya menggugat ketenteraman awam.

Kata kenyataan itu lagi, tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected], untuk maklumat lanjut.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.