Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Wikipedia/Time Magazine)

Peniaga Rugi RM40,000 Perhiasan Batu Permata Dilarikan Lelaki Menyamar Polis

KUANTAN, 29 Ogos — Seorang peniaga batu pertama di Pekan dekat sini, mendakwa kerugian RM40,000 selepas tujuh perhiasan wanita di kedainya dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 47 tahun mendakwa suspek yang dianggarkan berumur sekitar 45 tahun dan berpakaian t-shirt biru putih datang ke kedainya di bandar Pekan sekitar 2.10 petang.

Suspek didakwa memperkenalkan diri sebagai ‘Din’ kepada suami mangsa dan memberitahu perlu membeli perhiasan berbatu permata untuk dihadiahkan kepada Ketua Polis Daerah dan seorang pegawai dari Bukit Aman.

“Suspek mengatakan perhiasan itu adalah bersempena Hari Kebangsaan dan kenaikan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah sebelum melihat dan memilih perhiasan yang dikehendaki.

“Suspek kemudiannya membawa keluar perhiasan itu dengan alasan perlu menunjukkan perhiasan itu kepada pegawai atasan dan meninggalkan sampul surat yang agak tebal kepada mangsa dikatakan berisi wang tunai RM50,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata antara perhiasan diambil suspek ialah set permata nilam yang diikat dengan emas putih, sepasang subang diperbuat daripada batu delima, nilam dan zamrud, gelang daripada permata nilam diikat dengan emas putih dan empat bentuk cincin delima dan nilam yang dicampur berlian.

Suspek juga telah memberi arahan kepada mangsa untuk tidak membuka sampul surat itu sehingga dimaklumkan, namun mangsa melanggar arahan itu selepas berasa curiga kerana suspek tidak kembali ke kedai dalam tempoh masa yang lama.

“Mangsa mendakwa sampul surat itu hanya berisi kertas kosong menyebabkan dia berasa ditipu oleh suspek,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.