Siakap Keli
Gambar Hiasan

Pura-Pura Haus Lepas Buru Ayam Denak, Warga Emas Didakwa Disamun Lelaki Bersenjata

Kini terdapat pelbagai cara untuk para penjenayah untuk memperdaya mangsanya. Oleh itu semua orang dinasihatkan supaya berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari terjadi.

Terbaru, seorang wanita warga emas telah disamun dan barangan miliknya yang berjumlah kira-kira RM 600.00 telah dilarikan oleh dua lelaki yang berpura-pura kehausan dan mahu memburu ayam denak.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu berkata dalam kejadian 10.30 pagi itu, salah seorang suspek mengumpan Alijah Md Husin, 73, dengan meminta air kerana kehausan, namun mangsa yang tinggal keseorangan berasa takut dan curiga dengan permintaan itu lantas bertindak menutup pintu rumah.

“Selang beberapa minit, atas dasar kasihan, wanita itu menghulur air melalui tingkap rumah. Semasa mangsa hendak menghulur air melalui tingkap, lelaki itu memegang tangannya dan menendang pintu rumah sampai terbuka. Lelaki tersebut berjaya masuk ke dalam rumah, mengacukan sebilah pisau kepada mangsa dan mengambil barang-barangnya.

“Suspek tidak berseorangan ketika itu, turut bersama adalah seorang lagi suspek yang memandu kenderaan jenis Wira berwarna maroon dan dia hanya berkeliaran di kawasan rumah, selain turut memperdaya mangsa dengan memberitahu ingin memburu ayam denak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata barangan milik mangsa seperti beg duit, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad bantuan sara hidup serta wang tunai lebih RM500 yang kesemuanya dianggarkan kira-kira RM600 dilarikan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan selain usaha mengesan kedua-dua suspek berusia 20-an sedang giat dijalankan. Justeru itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta segera salurkan kepada pihak polis,” katanya.

Sumber: BERNAMA

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen