Siakap Keli
Gambar : Bernama

Penggunaan Perkataan ‘Pariah’ Tidak Ditujukan Kepada Sesiapa – Dr Mahathir

Putrajaya : Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan perkataan ‘pariah’ yang digunakan oleh beliau semasa mengulas mengenai kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) baru-baru ini, tidak ditujukan kepada sesiapa.

”Saya tidak tujukan kepada sesiapa. Siapa yang saya tujukan (ketika menyebut perkatan itu)?,” soalnya ketika diminta mengulas tindakan beberapa ahli PKR di Kapar membuat laporan polis terhadapnya kerana menggunakan perkataan tersebut yang didakwa menyinggung perasaan komuniti India di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata Lynas tidak boleh dilayan seperti ‘pariah’ dan diarahkan memberhentikan operasinya di Pusat Perindustrian Gebeng, dekat Kuantan.

Perdana Menteri berkata tindakan sedemikian akan hanya mengakibatkan tiada negara negara lain berminat melabur di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata beliau tidak mendapat maklumat mengenai pelantikan Jalil Rasheed, 37, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkuat kuasa 1 Okt ini.

”PNB duduk bawah Zeti (pengerusinya Tan Sri Dr Zeti Aziz)…Zeti tidak bagi tahu saya apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Jalil memahami hal tuju ekonomi Bumiputera dan Melayu memandangkan beliau dilihat masih muda selain pengalamannya luas di luar negara.

Mengenai keperluan mengubah garis kemiskinan sedia ada pada tahap pendapatan bulanan RM980 bagi seisi rumah, Dr Mahathir berkata memang terdapat keperluan tetapi tidak seteruk seperti dijelaskan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asas Manusia, Prof. Philip Alston.

”Tidak seperti dikatakan oleh orang yang datang ke sini untuk satu hari, tinggal di hotel besar dan kemudian membuat kesimpulan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan Alston minggu lalu bahawa kerajaan perlu mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan di negara ini kerana laporan rasmi bahawa ia hanya pada kadar 0.4 peratus adalah tidak tepat.

Alston dilaporkan berkata, kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, iaitu hampir sama dengan negara lain pada kadar kira-kira 15 peratus.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.