Siakap Keli

“Tak Sedar Air Mata Meleleh”, Ibu Kucing Sarat Mengandung Hampir ‘Masak’ Terkena Minyak Panas

Boleh dikatakan majoriti masyarakat pada hari ini mempunyai haiwan peliharaan dan yang paling banyak di antaranya adalah kucing. Walaupun kucing dianggap sebagai haiwan peliharaan yang manja, namun masih ada segelintir masyarakat yang sanggup menyiksa haiwan peliharaan ini.

Perkara ini berikutan tular di media sosial mengenai foto-foto seekor kucing betina yang sarat mengandung dipercayai terkena  minyak masak yang masih panas. Insiden itu berlaku ketika kucing berkenaan cuba mendapatkan makanan bagi anak-anak di dalam perutnya.

Namun begitu, ada juga individu yang mendakwa kucing itu telah disimbah dengan minyak masakan yang masih panas. Tidak tahu sejauh mana kebenaran kejadian itu.

Jika dilihat menerusi gambar berkenaan, hampir separuh badan ibu kucing itu melecur sehingga menyebabkannya kehilangan bulu-bulunya.

Keadaan kucing itu juga seperti sudah tidak bermaya berikutan badannya yang tidak mampu menahan kesakitan akibat daripada minyak yang panas itu. Walau bagaimanapun, ibu kucing ini sempat melahirkan anak-anak yang dikandungnya.

Akibat daripada kecederaan dan kesan lecur yang dialami oleh ibu kucing itu, anak-anak kucing yang baru dilahirkan itu tidak dapat menyusu seperti kebiasaan anak-anak kucing yang baru lahir.

Walaupun ibu kucing itu berada dalam keadaan yang lemah, namun ianya tidak menjadi penghalang buatnya untuk menzahirkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Perkara ini dapat dilihat menerusi tindakan ibu kucing itu yang mendakap anaknya yang baru dilahirkan.

Berikutan keadaannya yang kritikal, penjaga kucing itu telah membawanya kepada klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan lanjut. Di situ, kesan simbahan minyak dicuci oleh petugas veterinar dan seterusnya badannya telah dibalut.

Ibu kucing itu juga telah melahirkan sebanyak enam ekor anaknya. Namun, disebabkan kesihatannya yang berada dalam keadaan yang tidak baik, anak-anak kucing itu disusui oleh kucing lain yang digelar sebagai mama angkat.

Rata-rata warganet yang mengikuti kisah ibu kucing ini turut bersedih dengan nasib yang menimpa dirinya. Pun begitu, tidak kurang juga warganet yang berang terhadap pelaku yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Bukan setakat itu sahaja, warganet juga turut menzahirkan rasa terima kasih kepada individu yang membantu kucing tersebut untuk mendapatkan rawatan.

Sumber: Facebook

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra