Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Insider/Google Earth)

(Video)Macam Muka Orang, Pengkaji Dakwa Jumpa Imej Alien Atas Bumi Guna Google Earth Maps

Kita semua telah didedahkan dengan teori kewujudan makhluk asing atau ‘alien’ sejak berapa lama yang lalu. Namun, sehingga kini, tiada bukti kukuh yang dapat membuktikan kewujudan ‘penghuni’ alam semesta lain itu.

Apa yang diberikan kepada kita hanya sekadar teori atau tanggapan semata-mata. Buka sahaja di YouTube atau Google, anda akan temui banyak footage yang dikatakan sebagai rakaman UFO di merata tempat.

Terbaru, akaun ufo_scandinavia di Instagram mendakwa mereka telah menemui satu bentuk ‘wajah’ makhluk asing di Antartika melalui laman Google Earth.

Menurut tinjauan kami sendiri, kami juga berjaya menemui imej yang dimaksudkan melalui carian koordinat 72°00′ 36.00” S , 168° 34′ 40.00” E di Google Earth.

Foto: Google Earth

Melihat kepada imej berkenaan, ia sememang kelihatan seperti satu wajah yang sedang menahan kesakitan di mana bentuk mata, hidung dan mulut serta dahinya kelihatan agak jelas.

The Sun melaporkan bahawa NASA berpendapat ia hanyalah fenomena psikologi yang dinamakan sebagai ‘pareidolia’ yang mana manusia akan melihat bentuk sesuatu objek dalam keadaan atau data yang tidak sepatutnya.

Contoh berlakunya pareidolia ini ialah apabila kita merasa melihat  awan di langit membentuk seperti objek-objek lain seperti haiwan dan sebagainya.

Orang ramai mula berkonspirasi di ruangan komen pada kiriman yang dilakukan oleh akaun Instagram tersebut yang rata-ratanya mempercayai ia adalah petunjuk bagi kewujudan makhluk berkenaan.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda memiliki pandangan yang sama atau berpendapat ia hanya kebetulan sahaja? Kongsikan bersama kami di ruangan komen nanti ya.

Sumber: ufo_scandinavia, The Sun

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi