Siakap Keli

Kereta Bawa 10 Kilogram Daun Ketum Terbabas Dalam Tali Air

Kepala Batas : Sebuah kereta dinaiki sepasang kekasih yang dipercayai membawa 10 kilogram (kg) daun ketum terbabas ke dalam tali air ketika mereka cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Jalan Pinang Tunggal, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, polis cuba menahan kereta jenis Perodua Kenari yang dipandu seorang lelaki dengan seorang penumpang wanita masing-masing berumur 23 tahun dan 20 tahun itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pemandu lelaki itu terus memecut laju kereta itu dan enggan berhenti seperti diarahkan polis.

“Berikutan itu polis bertindak mengejar kereta tersebut dan pemandunya terus memecut laju sebelum dia gagal mengawal kenderaan dipandunya sehingga kereta tersebut terbabas masuk ke dalam tali air, ” katanya di sini hari ini.

Katanya pasangan kekasih itu tidak mengalami kecederaan namun pemeriksaan polis menemui 10 bungkusan plastik mengandungi 10 kilogram daun hijau dipercayai daun ketum.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati semua daun ketum yang bernilai RM300 itu baru sahaja diambil dari rakan kepada pemandu kereta tersebut dan lelaki berkenaan dipercayai mahu memprosesnya menjadi air ketum.

Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan penjual daun ketum itu.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah dan pasangan kekasih itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki daun ketum dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.