Siakap Keli
Sheikh Rashid Ahmad(Foto: The News)

Ketegangan Di Wilayah Kashmir, Menteri Pakistan Dakwa Perang ‘Rasmi’ Mungkin Bermula Oktober Ini

Ketegangan di antara India dan Pakistan yang berhubung kait dengan wilayah Kashmir sudah terjadi sejak beberapa lama yang lalu.

Namun, ia nampaknya kian memuncak ketika ini dan ramai yang berpendapat, dua negara berjiran ini akhirnya akan bertelagah menggunakan senjata secara besar-besaran satu hari nanti.

Pandangan yang sama turut dikongsikan oleh Menteri Kereta Api Pakistan, Sheikh Rashid Ahmad.

Bercakap kepada media tempatan, beliau menjangkakan yang Pakistan serta India berkemungkinan besar akan berperang secara ‘rasmi’ dan ia boleh berlaku seawal Oktober atau November ini.

Gambar Hiasan(Foto: The News)

Sheikh Rashid juga menggelar ia sebagai peperangan terakhir dengan India dan yakin bahawa Kashmir akhirnya akan mendapat ‘kemerdekaan’ daripada sengsara dan kepayahan yang mereka alami selama ini.

“PBB perlu mengadakan pungutan suara jika ini menyelesaikan perkara ini. Kita perlu bersama-sama dengan rakyat Kashmir dalam hal ini,”katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, India dalam kenyataan mereka baru-baru ini memperakui bahawa hubungan dua negara ini agak tegang, namun masih boleh diselamatkan tanpa sebarang peperangan.

“Apa yang digembar-gemburkan selama ini hanya untuk tujuan memperbesarkan cerita. Ia jauh berbeza dengan apa yang berlaku sebenarnya,” kata jurucakap kerajaan India.

Sumber: Dunya News, NY Times

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.