Siakap Keli

(Video) ”Kalau Saya Agong Pegang Macam Tu Tak Pi Klinik Dah,” Agong Sekali Lagi ‘Cemar Duli’ Bantu Mangsa Kemalangan

Sultan yang disayangi seluruh rakyat Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sememangnya dikenali dengan sifat merendah diri dan keprihatinan yang tinggi.

Dalam kejadian terbaru yang berlaku petang tadi, Seri Paduka telah bertindak turun dari kenderaan rasmi untuk memeriksa keadaan seorang mangsa kemalangan, berhampiran persimpangan USJ, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

Melalui rakaman video yang dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam laman sosial Instagramnya sebentar tadi, kelihatan Seri Paduka bergegas menuju ke arah mangsa kemalangan dan bertanya mengenai kejadian yang berlaku.

Seri Paduka kemudian memeriksa kecederaan pada tangan wanita tersebut sebelum menitahkan polis pengiring menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Mangsa berkenaan, seorang wanita, dilaporkan mengalami kecederaan ringan setelah kenderaannya terbabas dan terbalik di laluan kanan lebuh raya itu.

Difahamkan, ketika kejadian Sultan Abdullah dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas manghadiri program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ di Eco Ardence di Setia Alam.

Perkara sama turut berlaku pada Jun lepas apabila Sultan Abdullah turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya.

Seri Paduka ketika itu di dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati.

Susulan itu, netizen turut membanjiri ruangan komen dengan mengucapkan rasa terima kasih dan terharu mereka dengan kebaikan hati Sultan Abdullah.

Malah, rata-ratanya mengakui bahawa sebagai rakyat Malaysia mereka bertuah mempunyai seorang sultan seperti Sultan Abdullah. Moga Allah memanjangkan usia Tuanku. Amin!

Kalau saya Agong pegang macam tu tak pi klinik dah

Baiknya hati Tuanku

We are lucky Malaysians

Tonton video di bawah :

Sumber : Instagram azmin_ali

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.