Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tulisan Jawi Dalam Urusan Agama Islam Di Johor Bermula Tahun Depan

JOHOR BAHRU, 1 Sept (Bernama) — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menggunakan tulisan jawi dalam segala urusan surat menyurat mereka pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata pelaksanaan berkuatkuasa 1 Januari itu akan melibatkan kesemua anak syarikat di bawah JAINJ dan MAINJ.

“Pelaksanaan ini juga termasuklah di peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Tosrin berkata untuk memartabatkan lagi tulisan jawi sebagai simbol agama Islam di negeri ini, satu jawatankuasa juga turut akan ditubuhkan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata beliau menyokong sepenuhnya usaha menggunakan tulisan jawi itu kerana dapat memperkasakan lagi tulisan berkenaan di negeri ini.

“Semua di bawah jabatan agama Islam (termasuk MAINJ) mestilah menggunakan tulisan jawi untuk memperkasakannya.

“Kalau kita hendak mengaji, kita mesti tahu baca dan tulis jawi, jadi ia sedikit sebanyak dapat memahirkan kita untuk mengaji. Jadi saya harap seluruh masyarakat terutama orang Islam dapat menghayati dan belajar tulisan ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.