Siakap Keli
Kredit: CNN/Time

(Video) Lagi Kejadian Tembakan Rambang Di USA, 5 Terbunuh Dan Puluhan Tercedera

Odessa, Texas – Seramai lima orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 21 cedera setelah seorang pengganas melepaskan tembakan rambang di sebuah lokasi berhampiran pasaraya di sini semalam.

Suspek yang berusia 30-an melepaskan tembakan dari kenderaan dinaikinya sebelum ditembak mati oleh pihak polis dalam insiden berbalas serangan.

Menurut Ketua Polis Odessa, Michael Gerke, seramai tiga orang pegawai tercedera dan banyak kenderaan mengalami kerosakan.

“Suspek menuju ke arah pawagam Cinerygy di mana dia dan pihak polis berbalas tembakan di ruang parkir,” kata Gerke.

Sebelum itu, suspek dikatakan memandu sebuah kereta berwarna emas dan meronda-ronda di dalam bandar berkenaan sebelum dihentikan oleh pegawai keselamatan awam.

Setelah ditahan, suspek melepaskan tembakan ke arah seorang pegawai bertugas dan meneruskan pemanduan ke barat Odessa sebelum menembak lebih ramai mangsa.

Pengganas itu kemudiannya menghentikan kenderaannya di satu lokasi sebelum merampas sebuah trak kurier dan menembak orang ramai.

Seorang saksi, Alex Wood berkata, dia melihat banyak kenderaan polis ketika dia menuju ke arah pawagam berkenaan.

“Sejurus selepas itu, saya dengar bunyi letupan dan melihat banyak tembakan dilepaskan,” katanya kepada CNN.

“Saya dapat melihat pegawai polis menghampiri kenderaan itu dan membuang senjatanya, ketika itu saya percaya suspek telah mati,” katanya lagi.

Keadaan dan identiti mangsa yang tercedera belum diketahui. Setakat ini, seramai 14 orang dirawat di Pusat Perubatan Odessa yang menyediakan khidmat kaunselor kepada keluarga dan mangsa terlibat.

Insiden ini merupakan tembakan rambang kedua di Texas dalam bulan Ogos. Empat minggu lepas, seorang lelaki membunuh 22 orang dalam tembakan rambang di El Paso, kira-kira 459 kilometer dari barat Odessa.

Sumber: CNN

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.