Siakap Keli

Seramai 120 Murid Diarah Tinggalkan Sekolah Akibat Kebocoran Gas Amonia

Jasin : Seramai 120 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan diarah meninggalkan kawasan sekolah itu susulan kejadian kebocoran gas ammonia yang berlaku di sebuah kilang pemprosesan ayam, HLRB Processing Sdn Bhd, kira-kira 11.40 pagi tadi.

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata ibu bapa diarahkan mengambil anak mereka selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memaklumkan kejadian itu dan meminta mengosongkan kawasan sekolah itu yang berada kira-kira 1.5 kilometer dari kilang berkenaan.

”Pada 12.30 tengah hari kita dimaklumkan berlakunya kejadian kebocoran gas ammonia berhampiran SK Paya Redan. Justeru itu, ibu bapa diminta mengambil anak masing-masing pulang atas permintaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu,  sembilan pekerja kilang terbabit iaitu enam perempuan dan tiga lelaki dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut seleps dipercayai sesak nafas akibat terhidu gas ammonia itu.

Jurucakap bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 11.42 pagi dan lima anggota bomba dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

”Sehingga kini Unit Hazmat masih berada di lokasi dan mereka sedang melakukan pemeriksaan bagi mengesan kebocoran. Kesemua pekerja kilang terbabit diminta mengosongkan premis kilang,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.