Siakap Keli

Polis Sahkan Kilang Proses Ayam Selamat, Bebas Gas Ammonia

Jasin : Polis mengesahkan bahawa  kilang memproses ayam di Merlimau di sini yang mengalami kebocoran saluran paip gas ammonia di bahagian penyejuk beku produk makanan kilang iitu semalam telah dapat ditangani dan keadaan kini kembali normal .

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berjaya menutup kebocoran pada saluran paip gas ammonia pada 2.40 pagi tadi sebelum membiarkan keseluruhan ruangan premis itu kosong selama beberapa jam.

”Kita biarkan lebih kurang empat jam bagi memastikan baki gas yang ada di kawasan kejadian hilang sepenuhnya dan pengesahan terakhir oleh unit Hazmat pada 10.32 pagi tadi mendapati keadaan kilang adalah selamat dan bebas daripada pencemaran gas ammonia. 

”Cuma keselamatan pengoperasian kilang hanya akan ditentukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) selepas pemeriksaan sama ada boleh beroperasi semula atau ditangguhkan,” katanya pada sidang media di pusat kawalan operasi di kilang berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Komander Operasi Penolong Pengarah Bahagian Operasi JPBM Melaka Zulkifli Nordin, Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan serta Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong.

Raiz Mukhliz berkata susulan itu juga pusat kawalan operasi kebocoran gas ammonia di kilang berkeluasan enam hektar itu ditutup pada 11.30 pagi tadi manakala dua pusat pemindahan sementara yang dibuka masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan SMK Ayer Molek, Melaka Tengah ditutup pada 7 pagi tadi.

Katanya kejadian itu menyebabkan, seramai 33 mangsa atau pekerja dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata dan sesak nafas namun setakat ini, hanya 16 mangsa yang masih mendapatkan rawatan iaitu 12 orang di Hospital Melaka dan empat lagi di Hospital Jasin.

Sementara itu, beliau menegaskan 101 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membabitkan tiga buah sekolah berhampiran kawasan kilang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam yang menjalani peperiksaan di pusat peperiksaan baharu akan menjalani peperiksaan di sekolah masing-masing bermula esok.

”Saya juga menegaskan bahawa sepanjang tempoh bencana kebocoran gas ammonia ini tiada sekolah yang ditutup, bagaimanapun ada beberapa sekolah yang murid-muridnya diberikan cuti manakala UPSR berjalan seperti biasa selain guru-guru juga datang ke sekolah seperti biasa,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad mengarahkan kilang yang beroperasi sejak 2008 itu ditutup sementara waktu akibat insiden berkenaan.

Selain itu, susulan insiden itu juga seramai 81 calon UPSR membabitkan 75 murid dari SK Serkam Darat dan enam murid dari SJKT Ladang Serkam Darat menjalani peperiksaan itu di pusat peperiksaan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mahkota, manakala 20 calon dari SK Paya Redan ditumpangkan ke Pusat Peperiksaan baharu di SK Paya Dalam.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.