Siakap Keli
Gambar Hiasan (Foto: Facebook)

Tiga Maut Termasuk Wanita Sarat Mengandung Dalam Kemalangan Di Teluk Intan

Ipoh, 3 Sept – Tiga wanita yang menaiki sebuah Suzuki Swift maut termasuk seorang yang sarat mengandung selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32, Jalan Langkap-Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat,Teluk Intan hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah lori, dua buah kereta masing-masing jenis Suzuki Swift dan Proton Saga serta kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger pada pukul 10.50 pagi.

Katanya mangsa yang maut merupakan pemandu Suzuki Swift iaitu wanita warga emas berusia 62 tahun serta seorang wanita berusia 38 tahun yang sarat mengandung 35 minggu meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI) manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang menaiki Suzuki Swift hanya mengalami cedera ringan manakala dua lelaki masing-masing berusia 43 tahun yang menaiki Ford Ranger hanya cedera sementara seorang mangsa yang menaiki Proton Saga masih belum dikenal pasti identitinya.

Pemandu lori berumur 36 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini lewat petang tadi.

Mohd Marzukhi berkata hasil siasatan mendapati lori itu dipercayai telah terlanggar belakang Suzuki Swift yang hendak membelok ke kanan memasuki simpang Klinik Desa Tanjung Keramat menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terlanggar Ford Ranger yang datang dari arah bertentangan sebelum kenderaan pacuan empat roda itu terjatuh ke dalam parit.

“Lori itu kemudiannya terbabas dan terlanggar Proton Saga yang berada di belakang Ford Ranger sebelum (lori) terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menahan pemandu lori bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)