Siakap Keli

”For God, King And Country”, Sajak Khas Untuk Pewira, Kenang Pengorbanan Tak Terkira Untuk Negara

Sebagai seorang orang awam yang tinggal di tanah yang berdaulat dan merdeka, kita seharusnya sentiasa bersyukur kerana nikmat keamanan yang kita kecapi selama ini adalah hasil daripada perjuangan perwira-perwira tanah air yang telah mengerah tenaga mereka untuk berjuang mengekalkan keamanan negara yang kita cintai ini.

Terpaksa mengabaikan nikmat waktu tidur yang mencukupi, katil yang selesa, serta meninggalkan keluarga tercinta dirumah, mereka pergi menjaga sempadan-sempadan negara, menjaga keselamatan negara daripada musuh yang mengintai negara Malaysia ini untuk merosakkan keamanan yang dikecapi selama ini.

Perjuangan askar-askar di Malaysia ini haruslah dipandang tinggi kerana jika ada ancaman daripada pihak musuh, merekalah barisan pertama yang akan pergi melindungi negara Malaysia sehinggakan sanggup menggadai nyawa demi tanah air yang tercinta. Namun, kebelakangan ini ada isu di mana mereka ada beberapa golongan yang memandang rendah tentang fungsi anggota-anggota keselamatan yang menjaga keselamatan ini.

Anggota-anggota keselamatan di negara ini tidak pernah mengeluh kepada sesiapa tentang kepahitan dan keperitan yang mereka lalui dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara. Sebuah perkongsian yang dikongsi oleh Aenid Abdullah ada menceritakan tentang nukilan janji yang dipegang oleh pegawai keselamatan yang menjaga keselamatan negara Malaysia tercinta ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

hari itu..
aku melangkah..memasuki sebuah dunia..
yang bukan kebiasaan bagiku.

hari itu,
aku ikrarkan segala sumpah,
nyawa aku serahkan..demi sebuah negara yang menaungi bangsa dan agama..
dengan syarat terikat ketat..
bahawa nyawaku, kini milik Bonda.

hari itu,
aku terima..
segala henyakan..herdikan..makian..hentaman..
demi aku membina diriku..
agar kersaniku seteguh karang..
bagi menghadap lautan yang tak selalunya tenang..
yang diintai musuh daripada pelbagai sudut..
rakus mahu menjarah dan mengaut segala yang indah daripada negaraku..

hari itu..
aku melangkah ke depan..
saat yang lain berlari ke belakang..
dari udara..laut atau di atas daratan..
bersama teman-temanku..
kami atur langkah seiringan..
menjadi benteng penahan..
agar anak bangsaku bebas berlari, tidur dan makan dengan aman..

hari itu..
cap jari sepuluhku mencatat nota..
menjadi satu-satunya saksi bahawa aku..
mengorbankan usiaku demi pertiwi..
agar anak cucuku akan terus bebas berlari..

dan hari ini..
hari ini..aku menghadap langit sepi..
dengan suria yang semakin menggelap daripada pandanganku..
saat merah darahku mengalir ke bumi..
tanda bahawa aku tak mampu lagi berdiri..

Bondaku..
maafkan aku..kerana sumpahku terhenti di sini..
bukan niatku melanggari dan mengikari janji yang aku sendiri materai..
tapi..kerana sudah sampai masanya..
aku dipanggil kembali..

benarkan aku Bonda..
walau ku tinggalkanmu dengan berat hati..
kerana sudah ditetapkan Ilahi..
perjuanganku ini harus disambung mereka yang lain..

meski mataku sudah tidak terbuka..
meski telingaku sudah tidak mendengar..
meski tanganku sudah tidak mampu mencabar musuh yang mahu merogol tanah ini..
percayalah Bonda..
bahawa mereka yg kutinggalkan di belakang itu..
akan terus bangun, membawa bersama mereka..
roh dan semangat yg aku tinggalkan..

selamat tinggal Bonda..
selamat tinggal wahai tanah tercinta..
aku pergi bukan kerana kedayusan..
aku pergi bukan kerana kecutnya semangat..
aku pergi..
kerana sudah tetapnya langkahku hanya sampai di sini..

maafkan aku..ampunkan aku..
dan bersaksilah bahawa aku..
adalah warisan anak merdeka..
yang gugurnya adalah demi negara tercinta..

nukilan..
=WRA=

Sumber: Aenid Abdullah

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.