Siakap Keli

Perhatian Untuk Kaum Lelaki, KKM Sahkan Gula-Gula Kopi Ginseng Ini Mengandungi Racun Berjadual

Putrajaya, 5 September – Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai yang mengambil gula-gula kopi berjenama Hamer Ginseng & Coffee Candy agar menghentikan pengambilan serta merta berikutan penemuan racun berjadual, nortadalafil dalam gula-gula berkenaan.

Nortadalafil merupakan ubat terkawal yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi seksual lelaki (impotensi atau erectile dysfunction).

Ia dikategorikan sebagai Racun Kumpulan 8 di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952 dan hanya boleh diberikan oleh Pengamal Perubatan Berdaftar, Pengamal Pergigian Berdaftar atau Pakar Veterinar mengikut preskripsi yang sah.

Kredit: KKM

Pengambilan ubat tersebut tanpa pemantauan boleh memberi kesan sampingan yang serius antaranya;

  • Pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran
  • Penurunan tekanan darah
  • Masalah kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung hingga menyebabkan kematian

Pengilang, penjual dan pengedar produk berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkenaan produk ini boleh menghubungi Program Perkhidmatan Farmasi atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) atau hubungi talian 03-78413200.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.