Siakap Keli
Gambar: psa.edu.my

95 Peratus Graduan Politeknik Dapat Kerja

BUKIT MERTAJAM, 6 Sept (Bernama) — Pelajar lepasan politeknik di negara ini mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi dan sehingga kini kira-kira 95 peratus daripada graduan berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Mohamad Azhan Md Amir berkata peratus kebolehpasaran graduan politeknik telah melebihi sasaran kementerian iaitu 90 peratus dan berharap jumlah peratusan itu akan terus meningkat seiring dengan kualiti pelajar.

“Kejayaan kebolehpasaran graduan itu hasil usaha bersepadu antara politeknik dan pihak industri dalam membangunkan tenaga kerja lebih kompeten serta berdaya saing.

“Biasanya penuntut semester akhir ini ditawarkan peluang pekerjaan, manakala pihak industri pula sudah ada bakal pekerja yang menjalani tempoh percubaan latihan industri selama enam bulan sebelum diserap sebagai tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) ke -19, di sini hari ini. Seramai 1,407 pelajar PSP menerima diploma pada konvokesyen tiga hari itu, bermula hari ini hingga Ahad. Turut hadir Pengarah PSP Mohd Fisal Haroon.

Sementara itu Mohamad Azhan berkata graduan politeknik merupakan peneraju latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang bakal mengemudi Malaysia memasuki Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan menjadi negara maju.

Menurutnya politeknik juga merupakan sebuah institusi besar sebagai pemain utama TVET yang bertanggungjawab menyediakan para graduan untuk mendepani IR4.0.

“IR4.0 bakal menjana pertumbuhan ekonomi, sosial dan pembangunan digital yang holistik. Ekonomi dunia akan beralih daripada ekonomi konvensional berasaskan sumber kepada ekonomi digital berasaskan teknologi maklumat,” katanya.

Katanya kemantapan graduan TVET juga perlu dikembangkan secara holistik ekoran cabaran bidang kerjaya masa kini yang semakin modem melalui aplikasi robotik serta digital.

“Saya percaya setiap graduan di politeknik mampu menguasai pelbagai kemahiran antaranya pemikiran kritikal dalam penyelesaian masalah, komunikasi berkesan dan keupayaan berkolaborasi di samping mempunyai kreativiti serta kesejahteraan emosi,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa