Siakap Keli
Kredit: ABC News/Nasional Tempo/Bola Sports

Jangan Main-Main, Ini Antara Kes Lain Rusuhan Penyokong Indonesia Hingga Ada Kematian Berlaku

Baru-baru ini kita menyaksikan tindakan segelintir penyokong Merah Putih yang menyebabkan kekecohan sehingga mengakibatkan permainan tergendala selama 10 minit.

Rusuhan seperti ini bukan kali pertama berlaku di sana. Minat kelompok fanatik itu terhadap bola sepak membuatkan mereka sanggup berbunuhan sesama sendiri hanya kerana tidak menyokong kumpulan yang sama.

Sejak 1994 sehingga tahun ini, seramai 74 individu dilaporkan maut akibat keganasan yang berpunca dari bola sepak. Bukan calang-calang rusuhan, kekecohan tersebut turut melibatkan kumpulan samseng yang mempunyai ketua masing-masing.

Oleh itu, kelibat kereta kebal mengangkut para pemain bukanlah perkara asing lagi di sana. Bahkan, hanya penyokong tuan rumah dibenarkan berada berhampiran stadium bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan.

Pemain Liga Premier Indonesia sering dibawa menaiki kenderaan perisai. (Kredit: ABC News)

Berikut merupakan beberapa kes rusuhan antara penyokong Indonesia sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

1. Haringga Ari Sirla

Hanya kerana menyokong kumpulan berlainan, Ari Sirla, 23 dipukul sehingga mati pada September tahun lalu. Dua minggu sebelum tragedi tersebut, Sirla teruja menerima kad keahlian kelab penyokong rasmi Jakarta, Jakmania.

Walaupun ahli Jakmania dihalang dari menghadiri stadium Bandung, Sirla pergi sendiri dalam keadaan bersembunyi untuk menyokong pasukan kegemarannya.

Sayangnya, dia tak sempat tiba ke stadium.

Sirla, kanan bersama ibu bapanya. (Kredit: The Jakarta Post)

Ketika dalam perjalanan, dia diserbu penyokong pasukan lawan yang dapat mengenalpasti identiti dirinya sebagai ahli Jakmania sebelum dipukul sampai mati.

“Mereka memberitahu saya, dia ditikam, kepalanya pecah, leher dan hidungnya patah. Macam mana saya boleh lupakan tragedi ini setiap hari?” kata ibunya, Mirah.

Seramai 13 suspek ditahan termasuk 7 remaja bawah umur atas tuduhan membunuh dan menyerang sehingga menyebabkan kematian.

2. “Aing orang Bandung, aing orang Bandung”

Ricko meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. (Kredit: Nasional Tempo)

“Saya orang Bandung, saya orang Bandung!”

Ricko Andrean, 22 sempat menunjukkan kad pengenalannya yang beralamat di Bandung sebelum diasak dan dipukul oleh kumpulan fanatik yang sedang mengejar penyokong lawan.

Ketika berlaku kejar mengejar, penyokong lawan bersembunyi di belakang Ricko yang ketika itu baru membuka jersi pasukannya. Akibatnya, dia disangka sebagai penyokong pasukan lawan, membuatkannya menjadi mangsa pukulan kumpulan berkenaan.

Selepas 4 hari dirawat di hospital, Ricko menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 27 Julai 2017 dan dikebumikan bersebelahan makam ibu dan bapanya di Tempat Pemakaman Umum Cikutra, Bandung.

“Saya lihat mangsa sedang dipukul. Selepas diseret, saya pun ikut menendangnya di dada,” ucap Wugi Fahrul Rozak, salah seorang suspek yang menyebabkan kematian mangsa.

Setelah membelasah, Wugi memuatnaik gambar kasutnya yang digunakan untuk menendang Ricko di laman Facebook miliknya.

“Puas menonton.. Mati kamu The Jack. Kasut sejarah bekas mengajar The Jack,” tulisnya.

*The Jack merujuk kepada Jakmania, kelab penyokong Jakarta.

Kredit: Bola Sport
Lakonan semula suspek ketika membelasah Ricko.

3. “Anjing mafia!”

Bukan sahaja menentang penyokong pasukan lawan, bahkan peminat Indonesia turut mempunyai rasa tidak percaya kepada pegawai pasukan sendiri akibat khabar angin yang mendakwa keputusan permainan telahpun dibuat sebelum perlawanan bermula.

Mereka mendapat khabar bahawa pertandingan tersebut telah ditentukan oleh mafia perjudian antarabangsa.

Dalam perlawanan antara pasukan Jakarta dan Bali, para penyokong membuat rusuhan sebelum permainan dimulakan.

Kredit: The Jakarta Post

Setelah perlawanan bermula, ia terpaksa dihentikan beberapa kali akibat penyokong Bali yang membaling api ke padang sambil melaungkan “anjing mafia”.

Polis hanya mampu memerhatikan kemarahan dan api terpadam sendiri.

Bekas wartawan sukan, Akmal Marhali yang kini menjadi peneraju NGO Save Our Soccer (SOS) berkata,

“Penentuan perlawanan merupakan penyakit kronik di Indonesia.

“Sebelum peminat memasuki stadium, mereka telahpun mengetahui keputusan. Dan ia benar-benar berlaku di padang, membuatkan mereka marah,” katanya.

Kini, polis Indonesia menubuhkan Pasukan Anti-Soccer-Mafia melibatkan 145 pegawai yang berperanan untuk menyingkirkan pegawai yang pecah amanah.

Sumber: ABC News, The Jakarta Post, Jabar Tribun News

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.