Siakap Keli
Gambar: Analisakini.com, CNA

Persatuan Bola sepak Indonesia Kecewa Atas Kekecohan Yang Berlaku Di Stadium Semalam

Persatuan Bola sepak Indonesia (PSSI) kecewa bukan sahaja kerana ditumpaskan oleh skuad negara dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2020, malahan kerana insiden kekecohan yang dibuat oleh penonton semasa perlawanan itu berlangsung semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta itu terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-68 kerana ada beberapa penyokong Indonesia yang turun menyeberang pagar di kawasan penonton. Para penyokong tersebut dipercayai meluru ke arah kawasan para penyokong Malaysia.

Insiden tersebut telah mencetuskan provokasi kepada para penyokong Indonesia yang lain untuk turut serta menyeberang pagar yang dikawal itu. Dari bahagian atas stadium itu pula, beberapa objek telah dilemparkan oleh penyokong Indonesia ke arah kawasan penyokong Malaysia.

Menurut Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria, pihaknya kesal akan sikap yang ditunjukkan oleh sebilangan penyokong pasukan Indonesia. Dalam masa yang sama, Indonesia dilaporkan sedang di bawah pemantauan pihak FIFA bagi proses membida hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia U-20.

“Kami yang berada di pihak pengurusan ini berasa sedih, hampa dan saya amat menyesali tentang kejadian yang berlaku pada perlawanan tersebut. Kejadian sebegini tidak seharusnya berlaku kerana kita sedang membida hak tuan rumah bagi Piala Dunia U-20, kejadian yang berlaku semalam perlu diteliti semula, baik dari PSSI, kerajaan bahkan penonton,” ujar Tisha.
Namun begitu, Tisha dilihat enggan menyalahkan sesiapa atas kejadian tersebut. Beliau berharap agar semua pihak dapat berlapang dada dan boleh menerima apa pun keputusan yang terhasil selepas wisel penamat dibunyikan.
“Tiada sesiapa yang perlu disalahkan, mari kembali perbaik diri kita. Kita tahu perlawanan itu adil, sedar juga baik dan buruk dan saya juga sedar bukan senang untuk mengubat kekecewaan daripada tewas di tangan lawan,” tambah Tisha.
“Tetapi, seperkara lagi, jangan pernah menggunakan alasan sebagai peminat fanatik bola sepak untuk melakukan tindakan anarki. Kalau betul fanatik, berseronoklah apabila menang dan kalau kalah terima sahaja keputusannya,” ujarnya lagi.
Pastinya Indonesia akan dikenakan tindakan dari FIFA berikutan dengan insiden tersebut. Denda bermain dengan stadium tanpa penonton harus siap sedia diterima oleh pasukan Indonesia.
Walaupun terdapat beberapa insiden kekecohan yang dilakukan oleh penonton, perlawanan tersebut sebenarnya agak menarik. Ada lima gol yang tercipta sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. Sungguhpun begitu, hasil tidak berpihak kepada tuan rumah. Skuad Garuda Merah terpaksa akur dengan ketajaman serangan skuad Harimau Malaya dengan skor 3-2.
Sumber: kumparan

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.