Siakap Keli
Kredit: South China Morning Post/Business Times

Suspek Tembakan MH17 Dibebaskan Dengan Jaminan

Kiev, Ukraine – Mahkamah rayuan di sini membebaskan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam menjatuhkan pesawat boeing milik Malaysia Airlines, MH17 di timur negara ini pada lima tahun lepas yang mengorbankan 298 nyawa, kebanyakannya warga Belanda.

Mahkamah memerintahkan pembebasan Volodymyr Tsemakh semalam dari penahanan sementara menunggu siasatan lanjut.

Tsemakh ditangkap kerajaan negara tersebut atas dakwaan menganggotai puak pemisah pro-Rusia pada Jun lalu, namun dipercayai mempunyai kepentingan dalam penembakan MH17 yang menuju ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

Tsemakh merupakan rakyat Ukraine yang dipercayai pernah menyertai skuad pertahanan udara puak pemisah Donetsk People’s Republic berhampiran Snizhne di timur Ukraine.

Walaupun penglibatannya dalam tragedi tersebut belum dipastikan, 40 orang ahli politik Eropah meminta Presiden Volodymyr Zelensky untuk memastikan dia tampil untuk siasatan oleh pasukan penyiasat diketuai Belanda.

“Kami harap dia akan tampil untuk siasatan. Kami sangat kesal jika kami tidak boleh menyoalsiasat dirinya kerana dia dilepaskan,” kata wakil pasukan penyiasat, Brechtje van de Moosdijk kepada agensi AFP.

Penukaran tahanan

Vladimir Putin. (Kredit: International Policy Digest)

Pembebasan Tsemakh menimbulkan spekulasi bahawa dia terlibat dalam penukaran tahanan antara Ukraine dengan Rusia.

Tidak lama selepas dia dibebaskan, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyentuh tentang penukaran banduan ketika sebuah persidangan di Rusia. Katanya, penukaran tersebut mungkin boleh menjadi langkah untuk memperbaiki hubungan kedua-dua negara itu.

Setelah itu, beliau bertemu dengan ahli politik Ukraine, Viktor Medvedchuk yang pernah membincangkan tentang penukaran banduan dengan Rusia sebelum itu.

Menurut Al-Jazeera, terdapat laporan yang tidak dikenalpasti menyatakan Tsemakh merupakan salah seorang banduan yang ingin ditukar oleh Rusia, sebagai imbalan mereka membebaskan beberapa banduan Ukraine di Rusia termasuk 24 orang pelayar yang ditangkap pada November.

Pesawat MH17 telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di ruang udara Ukraine, kawasan yang dikawal oleh pemberontak pro-Rusia menggunakan peluru berpandu milik tentera Rusia, membunuh semua penumpang dan kru kapal di dalamnya. Walaubagaimanapun, Rusia menafikan terlibat dalam tragedi berkenaan.

Jun lalu, pendakwaraya Belanda menamakan empat orang suspek bagi menghadapi tuduhan bunuh. Tiga daripada mereka merupakan tentera Rusia yang membantu puak pemisah di sempadan Ukraine untuk mendapatkan dan menggunakan sistem peluru berpandu berteknologi tinggi.

Keempat-empat mereka dijangka akan didakwa pada Mac 2020 di Netherlands, Belanda.

Sumber: Al-Jazeera

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.