Siakap Keli
Gambar : FB Bomba & Penyelamat Negeri Pahang

Tragedi Pilu, Bapa Lemas Lepas Selamatkan Anak

Malang tidak berbau apabila seorang bapa menemui ajal setelah menyelamatkan anaknya yang lemas dalam kejadian yang berlaku di Air Terjun Chamang, Bentong, hari ini.

Mangsa, seorang pengurus syarikat pemasaran Chong Aun Guan, 48, dipercayai baharu menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun yang hampir lemas dalam kejadian yang berlaku sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Shah Alam, Selangor datang berkelah di air terjun itu hari ini bersama ahli keluarganya  sebelum anaknya dilihat terkapai-kapai di permukaan air.

Gambar : FB Bomba & Penyelamat Negeri Pahang

Memetik laporan sumber, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis berkata, mangsa yang juga sedang mandi ketika itu terus menyelamatkan anaknya dengan menolak anaknya itu ke arah tepi air terjun yang berbatu.

Dia kemudiannya dilihat seperti sukar untuk berenang, menyebabkan isterinya menjerit meminta tolong daripada orang awam.

Katanya, mangsa yang difahamkan terapung di permukaan air dapat ditarik oleh orang awam dan diberi bantuan pernafasan, namun mangsa dipercayai telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Sumber : Bernama, Bomba & Penyelamat Negeri Pahang

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.